
KUCHING: Dialog Awam 9 Tahun bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan berlangsung esok di Satok Ballroom, Aras 3, Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, bagi mengimbas pencapaian sembilan tahun pentadbiran Abang Johari serta membentangkan hala tuju pembangunan negeri.
Menurut keyataan TVS, sesi dialog awam itu akan memberi tumpuan kepada perjalanan pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan penekanan terhadap pertumbuhan inklusif, daya tahan ekonomi dan peluasan peluang pembangunan ke seluruh negeri.
Antara fokus utama perbincangan termasuk pembangunan tenaga bersih, transformasi digital dan inisiatif pembangunan modal insan, merangkumi penciptaan peluang pekerjaan dalam industri baharu serta persediaan ke arah pelaksanaan pendidikan pengajian tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri bermula 2026.
Perbincangan akan dikendalikan oleh wartawan penyiaran kanan Tehmina Kaoosji bersama advokat kandungan Sayed Munawar Sayed Mustar, dengan program dijadualkan bermula pada sebelah malam.
Dialog awam berkenaan turut akan disiarkan secara langsung menerusi platform digital dan TVS pada malam yang sama.