Oleh: Mohidin Haji Malek
SENANGKAH menghasilkan sajak? Andai dilontarkan soalan ini, pasti jawapan yang diperoleh berbeza-beza. Bagi sesetengah orang, menulis sajak mudah, manakala bagi sesetengah orang pula untuk menghasilkan sebuah sajak tidak mudah. Kedua-dua jawapan berkenaan ada kebenarannya bergantung pada pemahaman masing-masing tentang sajak itu sendiri, di samping penceburan seseorang dalam penulisan genre ini.
Walau bagaimanapun, tidak bermakna mereka yang telah lama berkecimpung dalam dunia penghasilan karya sajak mampu menghasilkan karya yang baik, dan sebaliknya, tidak semua karya yang dihasilkan oleh pendatang baharu itu tidak bermutu. Hal yang sedemikian ini terkait dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh lewat pembacaan serta menghadiri bengkel-bengkel yang berkaitan.
Menulis sajak sesungguhnya tidak semudah yang difikirkan. Sajak bukan sekadar luahan rasa penulis. Pun bukan sekadar rakaman tentang apa-apa perkara atau peristiwa yang dilihat atau dialaminya. Seperti yang berulang kali diperkatakan, sajak melangkaui sempadan yang lebih daripada itu. Sajak harus ada penitipan perasaan.
Untuk melahirkan perasaan dalam sesebuah sajak juga bukan perkara yang mudah. Hal yang sedemikian itu menagih penghayatan serta penjiwaan yang mendalam dan bukan sekadar melihat dari sisi pandangan mata kasar, akan tetapi melihat lewat mata hati. Keupayaan menitip unsur penjiwaan yang mendalam dalam karya bukan sesuatu anugerah yang ada pada semua insan. Namun, kemahiran berkenaan mampu dipupuk serta dikuasai meskipun prosesnya memakan tempoh masa yang agak lama, di samping usaha yang berterusan untuk mempertingkat keupayaan serta kemahiran.
Jika kita baca dan hayati sajak penulis yang tersohor, apa-apa yang diluahkan lewat sajak-sajak mereka menagih penghayatan yang mendalam di pihak khalayak pembacanya. Untuk memahami apa-apa yang tersirat di sebalik bait-bait yang terjalin, menagih pembacaan yang berulang-ulang. Hal yang sedemikian inilah salah satu keistimewaan genre ini.
Mungkin faktor yang tersebut di atas menjadi rangsangan kepada pengkarya untuk menulis sajak. Jika dikaji secara umum, lebih ramai yang cuba untuk menghasilkan sajak berbanding cerpen, novel, esei atau skrip drama. Daripada jumlah ini, kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja, khususnya dalam kalangan pelajar. Perkara ini amat menarik untuk dijadikan kajian. Namun, dalam konteks makalah ini, bukan aspek tersebut yang ingin dibicarakan. Biarlah keinginan untuk berkarya itu terus berkembang dan tidak malap dan pudar.
Walaupun demikian, muluk juga untuk dilihat, ditaakuli dan dinilai karya yang dihasilkan. Ulasan mampu membaiki karya. Begitu hakikatnya dalam dunia pengkaryaan. Setiap daripada penulis yang ingin berjaya dalam bidang pengkaryaan, perlukan bimbingan.
Sebagai imbasan kembali, sajakialah puisi Melayu moden yang berbentuk karangan berangkap, bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, suku kata sebaris, rangkap, rima dan sebagainya. Setiap sajak yang dikarang mempunyai tema, iaitu persoalan primer yang dikemuka atau diketengahkan. Dalam erti kata lain, tema ialah idea pusat atau idea dasar. Sebagai contoh, tema tentang perpaduan, pendidikan dan sebaginya. Daripada tema, dikembangkan pula persoalan yang ingin pengkaryanya kemukakan. Pada lazimnya, terbit kekeliruan mentafsir tema dan persoalan. Persoalan ialah perkara yang dipersoalkan dalam sesebuah karya,dan dalam konteks wacana ini, sajak, untuk mengukuh dan memantapkan tema yang dikemukakan. Contohnya, persoalan tentang jalinan kerjasama, budaya saling menghormati, dan perpaduan antara kaum, dalam konteks perpaduan, ataupun dalam konteks pendidikan, masalah disiplin, ponteng, buli dan seumpamanya.
Di samping itu, sajak sebagai hasil karya sastera, mengemukakan pemikiran serta falsafah melalui sentuhan emosi. Wujud unsur penyedaran atau pengajaran yang ingin dilontarkan oleh pengkaryanya agar dapat difikirkan bersama oleh khalayak pembaca supaya timbul kesedaran yang menerbitkan tindak balas untuk mendepani serta menyantuni persoalan yang dikemukakan.
Wajar juga diambil ingatan bahawa dalam penulisan sesebuah karya sastera, sama ada puisi, cerpen, novelet atau novel, jalinan yang harmonis antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan, berupa kriteria yang menyerlahkan mutu penghasilannya. Tidak disangkal bahawa karya sastera lahir daripada sentuhan jiwa dan perasaan. Namun demikian, “permainan” kata-kata yang baik dalam sesebuah sajak bukan penentu atau jaminan karya berkenaan bermutu sekiranya aspek-aspek lain terabai, lantas menjadikan karya berkenaan menjadi sebuah coretan “biasa-biasa” sahaja.
Seperti yang dinyatakan tadi, sebuah sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat. Harus difahami juga bahawa jalinan kata-kata terbaik membawa pengertian wujudnya nilai rasa dan nilai erti yang seimbang dan bersifat harmonis antara kata dan maksud.
Seperti yang dimaklumi, sajak bersifat bebas. Kebebasan yang dimiliki oleh sajak bermaksud keupayaan dan kesediaannya menerima bentuk-bentuk yang terdapat daripada puisi tradisional mahupun kehadiran bentuk-bentuk baharu yang dihasilkan berdasarkan kreativiti dan sensitiviti penyair, di samping keupayaan untuk menggabungjalinkan bentuk-bentuk yang sedia ada menjadi satu karya yang bermakna. Kebebasan sajak dalam aspek bentuk dikesan lewat cara penghasilan serta penulisannya. Namun demikian, sajak tetap tidak dapat dipisahkan daripada penerapan dan penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian.
Seperkara yang sering ditanyai kebanyakan pendatang baharu adalah dari aspek baris yang terdapat dalam setiap rangkap sajak. Seperti yang dinyatakan, sifat bebas sajak tidak membataskan secara khusus jumlah baris bagi membentuk sesebuah sajak. Malah, bagi seseorang penyajak yang tersohor, sajak berbentuk monoton atau satu baris sekalipun, mampu “mengocak” daya pemikiran pembacanya. Binalah jumlah baris mengikut kemampuan sendiri, sama ada yang berbentuk distikon atau dua baris, terzina (tiga baris), quatrain (empat baris), quint (lima baris), sekstet (enam baris), septaim (tujuh baris), oktaf (sepuluh baris), mahupun soneta atau empat belas baris. Akan tetapi, unsur-unsur yang dinyatakan awalnya, harus dipatuhi dan diterapkan dalam karya yang dihasilkan.
Seperti yang dinyatakan, apa-apa yang diperkatakan ini sekadar sebagai mengimbas kembali perkara yang semestinya telah diketahui dan difahami oleh seseorang penulis. Namun, dalam keghairahan untuk “menghadirkan” luahan perasaan dalam bentuk karya sastera, sering berlakunya pengabaian terhadap ciri-ciri atau unsur-unsur yang perlu diberikan perhatian. Perkara sedemikian bukan sahaja berlaku dalam kalangan pendatang baharu yang ingin berjinak-jinak dalam alam pengkaryaan, akan tetapi ada ketikanya turut “menjangkiti” pengkarya yang telah banyak menghasilkan tulisan. Suatu hakikat yang tidak dapat disisih atau ditolak secara total adalah, tiada sesiapa pun yang sempurna selagi bergelar “manusia”. Lantaran hal yang sedemikian itu, imbas kembali apa-apa juga ilmu yang terkait tentang sesuatu bidang yang ingin diceburi berupa amalan yang wajar diamalkan.
Lanjutan daripada hal yang sedemikian, fokus dialihkan kepada tiga buah sajak yang telah disiarkan pada minggu lalu dalam ruangan ini. Sajak-sajak berkenaan ialah “Kelupis Emak”, karya saudara Ibnu Hassan, “Guruku Pelita Hati”, nukilan saudari Anita Melin dan “Kota Lamunan”, ilham cipta Dani Suhaimi.
Sesuai dengan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika karya-karya berkenaan disiarkan, sajak “Kelupis Emak” mengemukakan persoalan tentang harapan seorang ibu akan kepulangan anak-anaknya untuk sama-sama meraikan kemeriahan sambutan hari lebaran bersama-sama. Hal yang sedemikian ini bukanlah persoalan baharu dalam masyarakat hari. ‘Terpisahnya’ anak-anak dengan orang tua, akibat memenuhi tuntutan keperluan dan melakukan ‘penghijrahan’ ke kota untuk sama ada belajar atau bekerja, adalah suatu fenomena yang biasa.
Dalam sajak ini, penulis memilih ‘kelupis’ sebagai imejan atau perlambangan pernyataan perasaan terkilan si ibu apabila si anak tidak pulang seperti yang diharapkan, apatah lagi dengan ketiadaan si suami yang telah menyahut panggilan Ilahi. Pemilihan ‘kelupis’ sebagai perlambangan dilihat sebagai ‘pelarian’ daripada penampilan imej tipikal, iaitu ketupat, lemang dan rendang. Mungkin kelupis itulah yang menjadi jamuan kegemaran si anak sehingga si ibu menyediakannya semata-mata untuk menyambut kepulangan si anak. Sajak ini baik dari segi pengolahannya. Penulis mampu menitipkan perasaan dan pemikiran di sebalik sajaknya yang ringkas, namun padat dan tidak kelewahan.
Sajak kedua, iaitu “Guruku Pelita Hati” berkisar tentang jasa guru dalam pembentukan insan dalam konteks pengilmuan serta penerapan nilai murni. Sajak seumpama ini memang banyak dinukilkan, khususnya menjelang sambutan Hari Guru. Hal yang sedemikian sememangnya wajar. Guru berperanan besar dalam konteks pengilmuan dan ‘pengacuanan’ sahsiah para pelajar sebagai generasi yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin serta peneraju pembangunan negara pada masa hadapan.
Sajak ini mudah dan tidak banyak bezanya dengan sajak-sajak seumpamanya yang terhasil sebelum ini, baik dari segi perlambangan, persoalan serta gaya penceritaannya. Hal yang ketara adalah ketipikalan penggunaan perlambangan ‘pelita’ dalam sajak-sajak seperti ini. Muluk sekiranya pengkaryanya mampu ‘lari’ daripada ketipikalan pemilihan perlambangan yang sedemikian.
Di samping itu, pengkarya disarankan membuat suatu perubahan dari segi pengolahan sajak ini agar lebih mengesankan di samping mampu menyentuh jiwa khalayak pembaca untuk lebih menghargai pengorbanan para guru. Seandainya dilakukan pemurnian serta penambahbaikan, sajak ini mampu menjadi sebuah sajak yang baik.
Sajak seterusnya, “Kota Lamunan” berupa sajak kabur yang memerlukan penerjahan ke alam ‘lamunan’. Dari segi pengolahan, terkesan unsur ‘kecelaruan’ dan ‘pertentangan’. Kecelaruan dalam erti kata peluahan idea yang tidak ‘dikawal’, dan pertentangan dalam konteks pernyataan sesuatu situasi atau keadaan. Pernah dinyatakan bahawa dalam penulisan sajak, usah biarkan emosi ‘mengawal’ diri, sebaliknya pengkaryalah yang sewajarnya mengawal emosi agar sesebuah karya tidak menjadi celaru.
Dalam konteks pertentangan pernyataan, sebagai contoh, baris pertama pada rangkap pertama, dinukilkan sebegini, “/bingitan pasar memecah sunyi kota/hamparan manusia beraneka warna/menjadi sepi tiada tara/”, manakala pada baris pertama rangkap kedua, pengkarya menyatakan “/berjalan aku, seorang diri/”.
Dalam konteks ini transisi ‘kebingitan’ pasar yang dipenuhi ramai manusia, menjadi sepi ‘tiada tara’ memperlihat perubahan suasana yang begitu pantas. Pertentangan situasi yang drastik. Di samping itu, biarpun difahami bahawa dalam ‘hamparan manusia’ itu, pengkarya ‘bersendirian’, akan tetapi pengolahannya memperlihatkan unsur pertentangan. Lebih sesuai sekiranya baris berkenaan diubah menjadi “menyendiri aku”.
Seperkara lagi ialah, sajak ini memperlihatkan pengaruh penggunaan bahasa Melayu Sarawak yang terpapar dalam baris ketiga, rangkap kedua, iaitu “berdiri aku di bawah tiang api”. Dalam bahasa Melayu Sarawak, perkataan “tiang api” merujuk kepada tiang lampu”. Oleh itu, pengkarya harus berhati-hati dalam penggunaan istilah tertentu kerana kesilapan yang walaupun kelihatan kecil, akan membawa pengertian yang amat besar.
Seperti yang dinyatakan, untuk memahami sajak ini, penerjahan ke alam lamunan adalah dituntut. Hanya pengkaryanya yang mampu membayangkan bentuk atau ciri kota lamunan yang diilhamkannya. Oleh itu, masih ada kerja-kerja pemurnian dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pengkarya bagi memantapkan sajak ini.
Kesimpulan daripada penelitian terhadap ketiga-tiga buah sajak ini memperlihatkan kekuatan, juga kelemahan dari segi pengolahan, keseimbangan pelontaran idea, mesej serta pemikiran.
Dari segi penguasaan bahasa, masih ada ruang untuk mempertingkat kemahiran dari segi pemilihan diksi dan pengolahan ayat atau frasa. Sebagai ingatan bersama, apa-apa yang diluahkan lewat karya harus mampu dimengertikan, bukan sahaja oleh khalayak pembaca, akan tetapi difahami sepenuhnya oleh diri sendiri terlebih dahulu. Usah mengharapkan khalayak pembaca memahami apa-apa yang dilontarkan lewat karya masing-masing sekiranya diri sendiri tidak mengerti sepenuhnya apa-apa yang tersirat di sebaliknya.
Kepada Ibnu Hassan, Anita Melin dan Dani Suhami, tahniah dan syabas atas penghasilan tiga buah sajak berkenaan. Teruslah menulis dan usah patah semangat. Timba ilmu sebanyak mungkin daripada sama ada amalan membaca bahan rujukan , mahupun mengikuti bengkel atau kursus yang berkaitan. Semoga maju jaya dalam dunia pengkaryaan sajak.
Salam bahasa, sastera dan budaya. Bahasa nadi bangsa.