ST PETERSBURG: Bandar raya kedua terbesar di Australia hari ini menjalani perintah berkurung selama dua minggu bagi mengekang lonjakan kes secara mendadak.
Walaupun langkah vaksinasi berjaya menurunkan kadar jangkitan khususnya di sebahagian besar negara kaya, peningkatan kes berkaitan varian delta, yang pertama kali ditemui di India menimbulkan kebimbangan.
Kemunculan gelombang varian baharu virus itu sudah mengakibatkan kematian kira-kira empat juta penduduk dunia.
Pusat pelabuhan Sydney yang biasanya sibuk, hampir lengang selepas kerajaan mengarahkan penduduk kekal di rumah kecuali jika membabitkan perjalanan penting.
Berikutan tercetusnya kenaikan kes Covid-19 di Australia, New Zealand mengumumkan penggantungan perjalanan tanpa kuarantin selama tiga hari dengan negara berkenaan.
Menteri Tindak Balas Covid-19 New Zealand, Chris Hipkins, berkata penggantungan itu membolehkan langkah sewajarnya diambil bagi memastikan gelembung perjalanan yang dilaksanakan itu lebih selamat.
Antara lain, langkah melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum penerbangan membabitkan kedua-dua negara mungkin dilaksanakan.
Sekatan terbaru di Sydney itu membabitkan kira-kira lima juta penduduk dan ratusan ribu lagi warga Australia yang tinggal di bandar berdekatan.
Ramai penduduk terkejut kerana bandar raya itu sudah menjalani kehidupan normal dengan kes Covid-19 dicatatkan amat sedikit sejak beberapa bulan lalu.
“Kami bertungkus lumus untuk kembali hidup seperti biasa selepas perintah berkurung pada tahun lalu.
“Hari ini, saya rasa seolah-olah menerima tamparan semula ketika cuba untuk bangkit,” kata Chris Kriketos, 32, yang bekerja di kedai kek di Sydney.
Dalam pada itu, bandar raya kedua terbesar Russia, St Petersburg, hari ini mengumumkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh tercetusnya pandemik Covid-19.
Ia berlaku ketika beberapa negara Eropah melonggarkan sekatan dalam menghadapi varian Covid-19 yang semakin mengganas di seluruh dunia.
Menurut statistik rasmi, negara yang sudah menjadi tuan rumah bagi enam perlawanan Euro 2020 dan bakal menjadi tuan rumah perlawanan peringkat suku akhir Jumaat depan mencatatkan 107 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.
Russia turut berdepan ancaman varian delta dengan peningkatan kes baharu sejak pertengahan bulan ini.
Sementara itu, Sepanyol menamatkan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka hari ini, setahun selepas ia diperkenalkan ketika tercetusnya gelombang pertama Covid-19 di Eropah.
Keputusan itu dibuat walaupun tercetusnya kluster utama di Madrid dikesan membabitkan percutian rombongan pelajar di pulau Mallorca dengan lebih 2,000 individu diarahkan menjalani kuarantin kendiri.
Tindakan sama turut diambil Belanda yang melonggarkan sekatan dengan menamatkan peraturan wajib memakai pelitup muka di tempat awam, membolehkan makan di restoran dan membuka semula kelab malam kepada individu negatif Covid-19.
Di Switzerland, kebanyakan sekatan sebelum ini turut ditamatkan susulan Menteri Kesihatannya, Alain Berset, berkata pada minggu ini negara itu akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang boleh memberi perlindungan mencukupi daripada serangan varian delta. – AFP