
KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat negara Ernie Zakri mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran muzik Indonesia menerusi kolaborasi dengan penyanyi muda dari negara jiran itu Anggi Marito, dalam lagu duet Kisah Penuh Kecewa.
Lagu berkenaan merupakan kerjasama sulung antara dua negara di bawah projek album kolaboratif Sahabat yang diusahakan oleh Ernie bersama-sama dengan Universal Music Malaysia.
Menurut Ernie, pemilihan pelantun lagu Tak Segampang Itu sebagai pasangan duetnya susulan saranan label rakaman beliau di Indonesia.
“Anggi ialah artis pertama saya dalam projek album Sahabat ini. Bila Universal Music Indonesia cadangkan Anggi, saya terus setuju kerana tahu ini peluang besar untuk saya melebarkan sayap.
“Selain itu, Anggi seorang yang berbakat besar serta mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Dia juga sangat mahir dari segi teknikal,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelancaran lagu Kisah Penuh Kecewa, di sini semalam.
Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 itu turut berkongsi bahawa proses penghasilan lagu berkenaan berbeza daripada kebiasaan kerana bermula dengan bengkel khas yang melibatkan penyanyi, penulis lirik dan komposer dari kedua-dua negara untuk mencipta lagu secara kolektif.
“Selalunya di sana kami akan adakan bengkel dahulu. Maksudnya, semua yang terlibat akan berkumpul dan berbincang mengenai tema, melodi dan sebagainya.
“Dari situ saya dan Anggi turut menyumbang idea dalam penghasilan lagu ini. Kami siapkannya dalam dua hingga tiga jam sahaja,” katanya.
Sementara itu, Anggi menyifatkan peluang bekerjasama dengan Ernie sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan mudah, meskipun mereka hanya bertemu secara fizikal buat pertama kali pada hari rakaman.
“Keserasian antara kami berlaku dengan cepat. Kami banyak berkongsi cerita, termasuk tentang kehidupan dan anak-anak, jadi hubungan mesra berlaku secara semula jadi,” kata penyanyi kelahiran Tarutung, Sumatera Utara itu.
Sebelum ini, media melaporkan Ernie bakal tampil dengan album terbaharu berjudul Sahabat yang menyaksikan kolaborasi antara penyanyi Malaysia dan Indonesia.
Album yang dijangka menemui peminat pada hujung tahun ini akan menghimpunkan 10 lagu duet, dan antara artis yang disebut-sebut akan berkolaborasi dengan Ernie ialah Dayang Nurfaizah, Amir Masdi, Andi Rianto serta Ronny Parulian.
Turut disebut nama Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun pelantun lagu Masing-Masing itu enggan mengesahkan perkhabaran tersebut buat masa ini.
“Saya berdoa agar karier saya panjang supaya saya sempat dan dapat berduet dengan individu hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya tidak menolak jika berpeluang memuatkan lagu duet bersama-sama dengan beliau.
“Tapi semuanya masih dalam perancangan. Sebenarnya ada penambahan artis dalam album Sahabat, dan kita akan dedahkan tidak lama lagi sama ada Datuk Seri Siti akan turut serta atau tidak,” katanya.– Bernama