
TIDAK semua pekerjaan boleh dilakukan di rumah melalui konsep kerja dari rumah (work from home – WFH) terutama bagi kakitangan awam.
Tetapi beberapa syarikat swasta termasuk firma gergasi seperti Telekom Malaysia selain firma asing sudah memulakan WFH sejak zaman Covid-19 dan diteruskan sehingga sekarang.
Antara kerja yang sesuai dilakukan dari rumah bagi kakitangan awam ialah pekerja pentadbiran dan pengurusan fail digital; kewangan dan perakaunan, perancangan dasar/penyelidikan, ICT dan sistem maklumat, khidmat pelanggan (call center / online).
Yang tidak boleh untuk WFH adalah pekerja ‘frontliner’ di hospital seperti doktor dan jururawat, polis, imigresen dan kastam terutama yang bertugas di lapangan.
Begitu juga operasi lapangan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan petugas penguatkuasa yang memerlukan kehadiran secara fizikal.

Prinsipnya ialah ‘kerja bukan tempat – nilai output, bukan kehadiran.
WFH berkembang semasa COVID-19 dan kini banyak sektor guna model hibrid (gabung pejabat dan rumah).
Hasilnya? Penjimatan kos kerana kurang penggunaan elektrik dan bangunan; kurang tuntutan perjalanan dan kurangkan keperluan ruang pejabat besar.
Ada kawan bekerja dengan Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad di Kuala Lumpur memberitahu kesesakan trafik di ibu negara berkurangan berikutan ramai staf bekerja dari rumah mengikut sektoral tertentu.
“Malah, jarang dengar staf cuti sakit, selain bil elektrik pejabat berkurangan secara drastik kerana kurang guna hawa dingin dan elektrik,” katanya.

Banyak masa bersama keluarga
Kelebihan bekerja dari rumah pula, berupaya menyeimbangkan kerja dan kehidupan peribadi bersama keluarga, kurang stres perjalanan jauh dan produktiviti meningkat (banyak kajian global).
Namun, cabaran utama ialah isu disiplin dan pemantauan. Maklumlah kerja sendirian, bukan depan bos. Cara penyelesaian ialah petunjuk prestasi utama (KPI) berasaskan output, bukan masa.
Pihak atasan kakitangan awam dan pengurusan tertinggi syarikat pula perlu mengikis budaya kerja lama iaitu ‘kalau tak nampak, dianggap tak kerja’. Ini perlu perubahan mindset kepimpinan.
Dari segi pemantauan prestasi, memang sukar dinilai kerja jika tiada sistem jelas. Oleh itu perlu KPI berasaskan output (bukan kehadiran) dan wujudkan sistem tracking kerja (dashboard / task system).
Cadangan dasar (praktikal)
Kalau dilaksanakan dengan baik, kerajaan boleh tetapkan kategori kerja layak WFH; laksana percubaan (pilot project) ikut jabatan, beri elaun sokongan digital (internet/peralatan) dan pastikan keselamatan data kerajaan terjamin.

Kesan jangka panjang
Jika WFH dilaksanakan secara sistematik di Sarawak:
๐ Kurang penghijrahan ke bandar
๐ Kurangkan kos hidup penjawat awam
๐ Tingkatkan keseimbangan kerja & kehidupan
๐ Bantu pembangunan kawasan luar bandar
Cabaran utama di Sarawak
Bagaimanapun, bukan mudah untuk melaksanakan konsep WFH di Sarawak dan Sabah.
Beberapa isu perlu ditangani iaitu internet tidak sekata – kawasan bandar: baik, luar bandar – masih lemah.
Untuk menanganinya perlu sokongan seperti pusat internet komuniti dan subsidi data untuk penjawat awam.

Selain itu, masih ada jabatan menggunakan dokumen fizikal, dan kurang integrasi sistem digital. Cara penyelesaiannya ialah perlu percepatkan pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Amalan biasa di negara maju
Negara yang aktif amalkan WFH adalah Amerika Syarikat dan banyak syarikat gergasi seperti Google, Microsoft dan Meta mengamalkan ‘hybrid/remote’
Di United Kingdom, pekerja ada hak untuk memohon kerja fleksibel, WFH dan hibrid sangat biasa di sektor profesional.
Belanda adalah satu negara paling fleksibel di Eropah dan undang-undang memberi hak pekerja untuk minta kerja dari rumah.
Di Finland, undang-undang โWorking Hours Actโ membenarkan pekerja tentukan lokasi kerja dan budaya kerja berasaskan kepercayaan tinggi.
Di Australia, WFH meluas terutama sektor awam dam korporat, manakala dasar ‘flexible work arrangement’ jadi norma.
Malaysia boleh menggunakan model kerja dari rumah mengikut ‘model WFH terbaik’ (Global Benchmark).
Model hibrid (paling praktikal) digunakan di Singapura, Australia dan United Kingdom iaitu 2-3 hari bekerja di pejabat dan 2-3 hari lagi bekerja dari rumah.
Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan setuju laksana kerja dari rumah bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat GLC bermula 15 April ini.
Diharapkan langkah ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, malah perlu diteruskan sampai bila-bila.
Maka, bermulalah era baharu di Malaysia meskipun ia sudah lama diamalkan di negara maju lain.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak