Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • EPL: Haaland pacu City ke tangga kedua liga
  • SUKAN

EPL: Haaland pacu City ke tangga kedua liga

Utusan Sarawak 7 hours ago
Penyerang Manchester City, Erling Haaland merembat masuk gol kedua melepasi penjaga gol Bournemouth, Djordje Petrovic pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. City menang 3-1. – Foto AFP

MANCHESTER, (United Kingdom): Erling Haaland meledak dua gol untuk membantu Manchester City naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Bournemouth 3-1 awal pagi tadi.

The Cherries memulakan aksi di tempat kedua hasil rekod tanpa kalah paling panjang dalam liga musim ini, namun pasukan bimbingan Andoni Iraola itu tidak mampu mengekang ketajaman penyerang Norway tersebut yang kini mengumpul 13 gol Liga Perdana dalam 10 perlawanan.

Kemenangan ini memastikan City terus mengekori pendahulu Arsenal dengan hanya enam mata dipisahkan, sambil memintas Liverpool dengan kelebihan satu mata menjelang pertemuan mereka hujung minggu depan.

“Kemenangan penting,” kata Haaland. “Seronok dapat bangkit selepas kekalahan sebelum ini. Saya hanya cuba lakukan tugas saya untuk pasukan dan kami berjaya menang lagi.”

“Walaupun tewas buat kali pertama dalam 10 perlawanan kepada Aston Villa minggu lalu, pengurus Pep Guardiola kekal yakin bahawa pasukannya masih mampu mencabar Arsenal menjelang penghujung musim.

Tanda-tanda positif turut kelihatan apabila Rayan Cherki dan Phil Foden menyerlah di bahagian serangan, manakala Nico O’Riley menjadi pemain City pertama selain Haaland yang menjaringkan gol Liga Perdana dalam tempoh lebih sebulan.

“Bournemouth antara pasukan paling mencabar yang kami hadapi,” kata Guardiola. “Namun kami menemui rentak kami, dan hari ini kami jauh lebih baik dalam banyak aspek.”

Bournemouth yang belum kalah sejak tewas kepada Liverpool pada aksi pembukaan musim ini bermula dengan baik, namun garisan pertahanan tinggi mereka dihukum pada minit ke-17 apabila tandukan Cherki membolehkan Haaland meluru dari kawasan sendiri dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Djordje Petrovic.

Pasukan pelawat menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi Tyler Adams, selepas penjaga gol Gianluigi Donnarumma gagal mengutip bola dari sepakan sudut.

Namun Haaland kembali meletakkan City di depan sebelum rehat dengan satu lagi larian pantas selepas menerima hantaran Cherki, menewaskan Petrovic untuk gol ke-26 beliau bagi kelab dan negara musim ini.

Penyerang berusia 25 tahun itu juga menjadi hanya pemain ketiga dalam sejarah Liga Perdana yang menjaringkan lebih daripada satu gol dalam empat perlawanan berturut-turut di laman sendiri, selepas Luis Suarez dan Robbie Fowler.

Guardiola mahu pemain lain turut menyumbang gol bagi mengurangkan beban ke atas penyerang utamanya, dan akhirnya O’Riley menjaringkan gol ketiga City menerusi rembatan rendah selepas menerima umpanan Foden.

Haaland dikeluarkan lapan minit sebelum tamat untuk Omar Marmoush, dengan Guardiola mencongak aksi Liga Juara-Juara menentang bekas kelab Haaland, Borussia Dortmund, pada Rabu.

“Kena tanya Pep kenapa saya diganti,” gurau Haaland. “Mungkin ada pengurus ‘fantasy football’ yang tak gembira bila saya dikeluarkan!”

Dua gol Haaland sudah cukup memastikan City kekal dalam kelompok teratas, masih memburu Arsenal yang kini mencatat sembilan kemenangan berturut-turut dan tujuh perlawanan tanpa bolos dalam semua pertandingan. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Nektuu FT juara Pertandingan Futsal anjuran SABERKAS Cawangan Simanggang, SUPP
Next: Rudal D.9 juara tarik tali tertutup Sarawak 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.