
FENOMENA jerebu muncul semula pada musim monsun barat daya tahun ini.
Menurut laporan media tempatan, kebakaran hutan di Sumatera dikatakan puncanya.
Walaupun begitu, berlaku juga kebakaran hutan di beberapa kawasan di Selangor.
Ketika rencana ini di tulis beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Putrajaya serta di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang mengalami jerebu teruk.
Jerebu juga telah sampai ke kawasan pantai timur, dengan bacaan IPU yang tidak sihat antara 100 – 200.
Ini bermakna jerebu telah bergerak mengikut tiupan angin barat daya dan mula mempengaruhi kawasan-kawasan di pantai timur.
Keadaan tiupan beberapa hari bermula minggu lepas juga dipengaruhi oleh Ribut Tropika Wilpa yang mula terbentuk di bahagian timur Filipina sebelum itu dan bergerak ke utara dan membadai kawasan selatan China dan juga bahagian utara Vietnam.
Kesan ribut tropika seperti ini semasa musim monsun barat daya menyebabkan tiupan angin barat daya di kawasan Semenanjung Malaysia menjadi lebih kuat dan keadaan lebih kering.
Keadaan kering juga berlaku di bahagian barat Kalimantan dan jika berlaku kebakaran hutan di kawasan ini, berkemungkinan Sarawak dan Brunei akan juga di pengaruhi jerebu.
Fenomena kebakaran hutan di negara jiran mahupun di dalam negara sendiri adalah sesuatu yang biasa apabila berlaku El Nino.
Peningkatan suhu permukaan laut bahagian tengah dan timur laut Pasifik yang mencirikan fenomena ini menyebabkan perubahan pola peredaran atmosfera menjadikan kawasan Asia Tenggara terutamanya Malaysia, Indonesia dan Filipina yang kebiasaannya menjadi kawasan penumpuan kelembapan dari Lautan Pasifik dan Lautan Hindi mejadi kawasan pencapahan kelembapan semasa fenomena El Nino.
Ini menjadikan kawasan-kawasan ini kurang kelembapan.
Kejadian fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) mejadikan keadaan lebih kering.
Bagaimanapun, keadaan kekeringan dan kemarau semasa berlaku fenomena El Nino ini bergantung kepada musim dan kawasan.
Di kebanyakan kawasan Indonesia, terutama di Sumatera dan Kalimantan, keadaan cuaca yang sangat kering dan kemarau berpanjangan dalam musim monsun barat daya apabila berlaku fenomena El Nino.
Dengan keadaan sangat kering dan kemarau berpanjangan, keadaan cuaca sangat sesuai untuk kebakaran hutan, sama ada disebabkan pembakaran terkait dengan guna tanah atau secara semula jadi.
Fenomena jerebu sesuatu yang pasti berlaku dan ia akan menjadi jerebu rentas sempadan disebabkan corak tiupan angin barat daya dan bertiup dari kawasan kebakaran.
Ini yang berlaku setiap kali El Nino berlaku terutama El Nino kuat seperti El Nino 1982/83, 1997/98 dan 2015/2016.
El Nino dan jerebu tidak menghairankan, kefahaman sains jelas di situ.
Bagaimana pula jerebu pada musim monsun barat daya pada 2025 ini, tahun tiada fenomena El Nino dan keadaan di Lautan Pasifik berada dalam fasa ENSO-neutral.
Begitu juga fenomena IOD, tiada tanda ia aktif dan menyebabkan kekeringan di kawasan Sumatera dan juga Kalimantan.
Keadaan kering and ketiadaan hujan dan cuaca panas yang boleh menyediakan keadaan sesuai untuk kebakaran hutan seperti ini perlu berlaku pada jangka panjang beberapa minggu atau bulan seperti semasa El Nino.
Saya berpendapat kita memasuki ambang di mana kekeringan melampau semasa monsun barat daya mula dipengerahui oleh perubahan iklim dan pemanasan global.
Tahun lepas 2024, suhu dunia telah meningat 1.55oC lebih tinggi berbanding aras sebelum zaman perindustrian di Eropah.
Tahun 2025 ini peningkatan suhu diramal juga tinggi walaupun berkemungkinan sedikit rendah disebabkan ketiadaan El Nino.
Menurut kajian pemodelan iklim dan unjuran perubahan iklim saya lakukan bersama kumpulan saintis dan pemodel iklim di rantau Asia Tenggara melalui inisiatif CORDEX Southeast Asia, iaitu sebuah inisiatif pemodelan iklim serantau beresolusi tinggi, keadaan iklim akan menjadi lebih kering semasa musim monsun barat daya.
Ini terutama di kawasan Sumatera dan Kalimatan di dekad- dekad akan datang walaupun tanpa kehadiran fenomena El Nino atau IOD sekiranya pemanasan global berterusan.
Dalam erti kata ia akan menjadi norma baharu, fenomena kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan menjadi satu kebiasaan, berlaku setiap tahun walaupun tanpa kehadiran fenomena El Nino.
El Nino tetap akan berlaku pada tahun-tahun tertentu dan apabila ia berlaku, berkemungkinan tahap kekeringan akan jauh lebih teruk, disebabkan pengaruh bertindih perubahan iklim dan El Nino.
Fenomena kebakaran hutan, fenomena jerebu adalah satu contoh terbaik mengapa kita perlu negara-negara di seluruh dunia berkerjasama dan berusaha untuk mengekang pemanasan global di bawah aras 1.5oC, seperti yang disasarkan dalam Perjanjian Paris.
Untuk mencapai ini, menurut Laporan Panel Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau IPCC, dunia perlu secara drastik menurunkan dan mencapai kadar pembebasan gas-gas reumah hijau ke tahap 50 peratus lebih rendah berbanding tahap masa kini pada 2030 dan mencapai “net-zero” karbon dioksida pada 2050.
Bagaimanapun dunia masih jauh untuk mencapai sasaran ini di mana meningkut laporan IPCC juga komiten dan dasar sedia ada oleh negara-negara di dunia meletakkan dunia pada trajektori pemanasan global melebihi3oCpada penghujung abad ke-21.
Perubahan iklim akan menyediakan keadaan di mana kebakaran hutan dan jerebu sesuatu yang menjadi norma walau tanpa El Nino.
Ada kemungkinan keadaan yang kita alamai tahun ini menunjukkan kita sudah berada di ambang situasi ini.
Kita tidak mampu menuju ke arah itu dan perlu menangani isu perubahan iklim dengan serius. Dunia perlu serius menangani isu perubahan iklim.
Prof Dr. Fredolin Tangang adalah seorang ahli klimatologi, bekas professor di UKM, felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).