
KUCHING: Ekspo Pemerkasaan Belia Pribumi Miri (EPBP) 2025 menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) akan memberi peluang kepada pelajar di negeri ini menentukan hala tuju kerjaya mereka pada masa hadapan.
Menurut Pengerusi Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Spancer Biondy Raymond Ramba ia juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelajar di bandar dan juga kawasan luar bandar mendapatkan akses pendidikan yang baik supaya mereka boleh bersaing dalam mendapatkan tenaga kerja di pasaran buruh.
Katanya, ekspo itu bakal menumpukan kepada bimbingan kepada golongan belia berikutan perubahan pendidikan dan tuntutan kerjaya yang sering mengutamakan keseimbangan dalam kedua dua perkara tersebut.
“Ekspo Pemerkasaan Belia Pribumi Miri 2025 pada 12April nanti adalah inisiatif Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak-PERANTIS dengan Kerjasama Jabatan Kemahiran Wilayah Sarawak-JPKWS dan Pusat Khidmat Parlimen Miri adalah mempersiapkan kumpulan sasaran iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Ia akan berlangsung bermula jam 8.30 pagi sehingga 6.30 petang bertempat di Stadium Bandaraya Miri,” katanya.
Tambah beliau, EPBP 2025 turut disertai oleh Yahos School of Skills, Universiti Putra Malaysia UPM, Universiti Teknologi Malaysia UTM, Universiti Tenaga Nasional UNITEN, Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM) Curtin Universiti Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak UTS, Swinburne Universiti, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak dan Kolej Vokasional Miri.
Agensi lain yang turut terlibat, katanya ialah Institut Pertanian Sarawak (IPS), Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak (JPKWS), Institut Kemahiran Bintulu IKM, ADTEC Bintulu, Institut Latihan Perindustrian Miri ILP, Institut Teknologi Riam, PPKS Miri, PTPTN Negeri Sarawak, My Future Job (PERKESO) IG Training Centre.
“Melalui pendedahan pada program ini, para lepasan SPM dan STPM yang berjaya atau kurang berjaya dalam akademik akan berpeluang memilih kursus atau bidang pendidikan yang sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.
“Ia turut meliputi penawaran latihan kemahiran insaniah atau kemahiran teknikal yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat serta khidmat bantuan sepanjang pengajian mereka peringkat diploma atau ijazah,” kata Spancer Biondy.