JAKARTA: Pesawat Lion Air JT330 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sejurus berlepas akibat kebakaran yang berlaku di bahagian enjin.
Pesawat menuju ke Palembang di wilayah Sumatera Selatan itu membawa 169 penumpang dan enam anak kapal berlepas pada 5.14 petang waktu tempatan pada Rabu, terpaksa berpatah balik 32 minit kemudian dan berjaya mendarat dengan selamat.
“Pada ketinggian 3,000 kaki, juruterbang mendapati operasi satu daripada komponen kapal terbang tidak berfungsi,” menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang murah Indonesia itu.
Pegawai komunikasinya Danang Mandala Prihantoro berkata, siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, jurucakap Polis Metropolitan Jakarta Endra Zulpan berkata pesawat itu mengalami masalah pada enjin di bahagian kiri pesawat, lapor portal berita tempatan, liputan6.com.
Penumpang telah dipindahkan ke pesawat lain dan berlepas semula pada 7.40 malam waktu tempatan, katanya. – Bernama