Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • STAIL
  • Enjin pam air gerakkan gerabak rumbia
  • STAIL

Enjin pam air gerakkan gerabak rumbia

Utusan Sarawak 4 years ago
PENGANGKUTAN… Potongan rumbia diletak di atas gerabak yang digerakkan oleh pam air.

PENGANGKUTAN  dari hutan atau kebun sering menjadi  fokus utama pemilik kebun rumbia  (balau/mulong)  di mana-mana kawasan di Sarawak ini

Menggulingkan keratan atau potongan rumbia atas tanah  dengan menggunakan tenaga manusia adalah antara kaedah yang telah dipraktikkan sejak berkurun lamanya.

Ia boleh dikatakan praktikal namun melelahkan dan  amat tergantung dengan jarak kebun dengan  sungai atau  tepi jalan di kawasan yang mempunyai jalan raya.

Tidak hairanlah, kaedah pengangkutan potong atau keratan rumbia dengan rel buatan sendiri telah mencuri tumpuan rombongan yang melawat sebuah kebun di Daerah Dalat, pada suatu ketika dahulu.

Menurut Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat (PPKRD), Benedict Pon Akie, teknologi itu telah dicipta oleh seorang pemilik kebun kecil daripada Kampung Tanam Dalat.

“Kaedah itu dikatakan dicipta oleh  arwah Mujan Salim pada sekitar tahun 2008. Kita mengetahui perkara itu ketika  meninjau proses penebangan pohon rumbia  di salah sebuah kebun rumbia di Kampung Tanam  bersama beberapa orang kakitangan dari Craun Research Sdn Bhd, pelajar dan pensyarah dari UiTM tempatan,”  ujarnya.

Pada kesempatan itu, mereka  telah menyaksikan teknik penebangan dan pengangkutan komoditi itu di dalam hutan. Secara peribadi saya amat teruja dengan cara pengangkutan potongan-potongan balau di dalam hutan dengan menggunakan landasan buatan sendiri,” tambahnya lagi.

Katanya,  arwah Mujan telah menggunakan enjin pam air untuk menggerakkan gerabak-gerabak terbuka di atas landasan yang diletak di atas tanah hingga ke sungai atau jalan raya berdekatan.

“Gerabak-gerabak itu bergerak cukup laju dan untuk sekali perjalanan ia boleh membawa lebih daripada 20 potong tergantung pada muatan gerabak itu sendiri. Pada jarak yang kita saksikan pada lawatan tersebut, ia boleh tiba ke destinasi pemunggahan dalam  masa dua minit sahaja dan ia juga boleh berjalan mengundur, walaupun agak perlahan,” katanya lagi.

Tambah Pon lagi, arwah Mujan telah menggunakan tali ‘belting’ dari enjin pam untuk memusingkan roda  bagi menggerakkan gerabak.

“Secara peribadi saya rasa dengan teknologi moden serta daya pemikiran yang tertentu,  kaedah ini boleh diberi nilai tambah lagi. Saya melihat apa yang dicipta oleh arwah sebagai sesuatu yang  positif dan mungkin memerlukan sesuatu untuk memperbaikinya,” kata Pon lagi.

Pony akin rekaan itu boleh membuka mata  penduduk tempatan bahawa mereka yang tidak bersekolah ke tahap tinggi pun mampu menghasilkan satu ciptaan yang menakjubkan jika menggunakan sepenuhnya daya kreativiti untuk mempermudahkan pekerjaan, sebagaimana yang dilakukan oleh arwah Mujan.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga berterima kasih atas pelbagai usaha yang  telah diambil oleh pihak berkuasa untuk memperkasakan industri rumbia di Bahagian Mukah dan Sarawak, amnya.

Mantan Pengerusi Persatuan Melanau Dalat ini juga berharap kerjasama yang jitu di antara pemain-pemain dalam industi dan pihak berkuasa untuk meletakkan indusri rumbia atau sagu negara ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Pon juga  berkata, pekebun-pekebun kecil rumbia merupakan penyumbang utama industri sagu  atau 90.77 peratus daripada  jumlah keluasan tanaman rumbia di negeri ini.  Justeru pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak  demi memajukan industri tertua di daerah Dalat itu.

Oleh HENRY B SIYU

Continue Reading

Previous: Hobi Daniel Anis sediakan Ikan Talapia Bakar Bersambal
Next: Kelupis, makanan tradisi Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.