
Harry Kane (tengah) menjaringkan dua gol ketika England menang 5-0 di Latvia untuk mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia tahun depan. Foto AFP
PARIS: Harry Kane menjaringkan dua gol ketika England membelasah Latvia 5-0 awal pagi tadi untuk mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026, manakala pasukan Cristiano Ronaldo, Portugal, terpaksa menunggu untuk menempah tiket ke pusingan akhir selepas diikat oleh Hungary.
Di tempat lain, demonstrasi pro-Palestin mendahului kemenangan penting Itali ke atas Israel, manakala Sepanyol selangkah lagi menuju kelayakan selepas meraih kemenangan besar ke atas Bulgaria.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel itu mudah menewaskan Latvia di Riga untuk mencatat enam kemenangan daripada enam perlawanan dalam Kumpulan K, sekali gus menjamin kedudukan teratas sebelum dua perlawanan terakhir bulan depan — mereka kini mengumpul 18 mata, tujuh mata di hadapan Albania di tempat kedua.
Anthony Gordon membuka jaringan sebelum Kane meledak dengan penyudah tajam dan kemudian menyempurnakan sepakan penalti bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama — penyerang Bayern Munich itu kini menjaringkan 21 gol dalam 13 perlawanan musim ini untuk kelab dan negara.
Maksims Tonisevs menjaringkan gol sendiri dan Eberechi Eze menambah jaringan kelima, menjadikan England kini boleh menumpukan perhatian kepada undian Piala Dunia yang dijadual berlangsung Disember ini.
“Peluang untuk layak ke Piala Dunia bukan datang selalu, jadi suasana pasukan sangat baik,” kata Tuchel.
Kesemua 12 juara kumpulan di Eropah akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala naib juara akan beraksi dalam pusingan play-off.
Serbia kini satu mata di belakang Albania selepas bangkit untuk menang 3-1 ke atas Andorra.
Guillaume Lopez membuka jaringan buat Andorra dengan rembatan menakjubkan dari tengah padang yang melambung melepasi penjaga gol Serbia, Djordje Petrovic.
Gol sendiri Christian Garcia menyamakan kedudukan sebelum Dusan Vlahovic menanduk masuk gol kedua, dan Aleksandar Mitrovic melengkapkan kemenangan menerusi sepakan penalti.
Portugal hampir mengesahkan tempat mereka apabila mendahului Hungary 2-1 dalam masa kecederaan di Lisbon — kemenangan akan mengesahkan mereka sebagai juara Kumpulan F.
Attila Szalai meletakkan Hungary di depan sebelum Ronaldo menyamakan kedudukan hasil hantaran lintang Nelson Semedo pada pertengahan babak pertama.
Ronaldo kemudian menambah gol kedua hasil hantaran Nuno Mendes pada masa tambahan separuh masa pertama, menjadikan bintang Al Nassr berusia 40 tahun itu mencatat rekod antarabangsa baharu dengan 143 gol dalam 225 penampilan untuk negaranya.

Beliau kini memegang rekod jaringan terbanyak dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia dengan 41 gol, dua lebih daripada legenda Guatemala yang sudah bersara, Carlos Ruiz (39 gol).
Namun, Hungary berjaya mencuri satu mata apabila pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai, menyempurnakan peluang jarak dekat pada masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Hungary kekal lima mata di belakang Portugal dengan dua perlawanan berbaki, dan masih berpeluang menjuarai Kumpulan F.
Ireland juga secara teori masih berpeluang selepas tandukan Evan Ferguson memastikan kemenangan 1-0 ke atas Armenia, yang kehilangan Tigran Barseghyan selepas dilayangkan kad merah. — AFP