2. Cristiano Ronaldo bakal menyamai rekod Lionel Messi sebagai pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia. — Foto AFP
LOS ANGELES: England memulakan misi menamatkan penantian 60 tahun untuk menjulang trofi apabila berdepan Croatia dalam aksi pembukaan Piala Dunia mereka pada jam 4 pagi esok (waktu Malaysia), manakala Cristiano Ronaldo dijangka mencipta sejarah dengan menyamai rekod beraksi dalam enam edisi kejohanan itu.
Legenda Portugal berusia 41 tahun itu mempunyai cabaran besar untuk menandingi pencapaian seteru lamanya, Lionel Messi, yang meledak hatrik sensasi ketika membantu Argentina menewaskan Algeria 3-0 awal pagi tadi.
Pada usia 38 tahun, Messi terus mempamerkan kehebatannya apabila menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia.
Secara gabungan, Ronaldo dan Messi telah memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak 13 kali sebagai pemain terbaik dunia.
Ronaldo dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Republik Demokratik Congo di Houston pada jam 1 pagi esok (waktu Malaysia)
sambil mengetuai skuad Portugal yang sarat dengan bakat dan memburu gelaran Piala Dunia pertama mereka.
Kapten England, Harry Kane pula menggesa rakan sepasukannya supaya bermain tanpa tekanan dan berfikiran bebas apabila menentang Croatia, naib juara Piala Dunia 2018, di Stadium AT&T di Arlington, Texas.

England dianggap antara pasukan pilihan selepas beberapa kali hampir meraih kejayaan dalam kejohanan utama kebelakangan ini, namun masih dibayangi sejarah apabila kali terakhir menjuarai Piala Dunia di laman sendiri pada 1966.
“Sudah tentu ini antara peluang terbaik yang kami ada sebagai satu pasukan untuk memenanginya,” kata Kane.
“Saya rasa semua pemain tidak sabar untuk memulakan kempen dengan baik dan membuktikan bahawa kami mempunyai kemampuan untuk pergi jauh dalam kejohanan ini.
“Akhirnya, mesej saya adalah bermain dengan fikiran yang bebas.”
Dalam satu lagi aksi Kumpulan L, Ghana akan bertemu Panama di Toronto, manakala pendatang baharu Uzbekistan menentang Colombia di Stadium Azteca, Mexico City dalam saingan Kumpulan K.
Magis Messi
Pada hari yang luar biasa buat Messi, beliau mencatat penampilan antarabangsa ke-200 sambil mencipta sejarah sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia ketika mengetuai Argentina masuk ke padang di Stadium Arrowhead, Kansas City — rekod yang bakal disamai Ronaldo awal pagi esok.
Ia juga tepat 20 tahun selepas penampilan pertama Messi di Piala Dunia.
Bintang Argentina itu menjaringkan hatrik pertama dalam karier Piala Dunianya.
Gol lencong pada minit ke-17 menyaksikan jumlah jaringannya di Piala Dunia meningkat kepada 14, menyamai legenda Jerman, Gerd Mueller dan bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Beliau kemudian mengatasi kedua-duanya apabila menjaringkan gol ke-15 pada minit ke-60, sekali gus menyamai legenda Brazil, Ronaldo.
Messi terus menambah koleksi golnya pada minit ke-76 untuk menyamai rekod bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose dengan 16 gol sebelum meninggalkan padang dengan tepukan gemuruh penyokong.
Argentina sebelum ini menewaskan Perancis dalam final epik Piala Dunia 2022 di Doha menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3, dengan Mbappe turut meledak hatrik dalam perlawanan tersebut.
Perancis, yang berpotensi bertemu Argentina sekali lagi di final jika mengikut ramalan undian, memulakan kempen mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Senegal awal pagi tadi.

Mbappe menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu, memberi isyarat jelas bahawa beliau bersedia untuk sekali lagi menjadi watak utama di pentas terbesar bola sepak dunia. — AFP