LONDON: Kerajaan Britain pada Jumaat mengumumkan pengecualian pertama bagi kuarantin Covid-19, dengan ketibaan mereka dari Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali tidak perlu lagi melakukan kuarantin kendiri mulai 10 Julai.
Bagaimanapun, menerusi langkah yang mungkin mengelirukan itu, pengecualian yang terpakai kepada negara yang berisiko rendah Covid-19 itu, hanya akan dilaksanakan bagi ketibaan di England.
Mereka yang tiba di bahagian lain di United Kingdom (UK) sama ada Scotland, Wales atau Ireland Utara masih perlu melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari atau berdepan hukuman denda.
Britain berhadapan penularan coronavirus dengan sekurang-kurangnya 44,000 kematian, namun kadar jangkitan mula menurun sekali gus membolehkan negara itu melonggarkan penutupan selama tiga bulan secara berperingkat.
Sejak 8 Jun lalu, negara itu mewajibkan semua ketibaan dari luar negara, termasuk penduduk UK untuk menjalani kuarantin kendiri bagi mengelak risiko kes baharu yang diimport dari luar.
Langkah itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan syarikat penerbangan yang sedang bergelut ekoran kesan penutupan secara global akibat coronavirus, selain langkah sama yang dilaksanakan negara lain.
Menyedari ramai rakyat Britain yang berhasrat untuk melancong ke luar negara pada musim panas ini, kerajaan pada Jumaat menjangkakan, negara yang berada dalam senarai pengecualian menarik balik sebarang sekatan kepada pelancong UK.
Bagaimanapun, ia menunjukkan perbincangan berhubung untuk memastikan tindakan timbal balas itu masih berjalan.
“Hari ini menandakan langkah seterusnya dalam pembukaan semula negara kita secara berhati-hati.
“Sama ada anda yang bersedia ke luar negara untuk bercuti atau peniaga yang sedia membuka pintu anda kembali, ini adalah berita baik untuk rakyat dan perniagaan Britain,” kata Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps dalam satu kenyataan.
Katanya, senarai pengecualian itu sedang disemak dan memaklumkan, “Kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak pantas bagi melindungi negara kita jika kadar jangkitan meningkat di negara yang mana kita berhubung”.
Senarai lebih banyak negara yang dikecualikan dijangka akan dikeluarkan pada Jumaat dan laporan berita menjangkakan kira-kira 75 negara akan terbabit. – AFP