PENGURUS England, Gareth Southgate (kiri) dan penolong pengurus England, Steve Holland (kanan) mengetuai sesi latihan pasukan England di Padang Latihan Kelab Bolasepak Tottenham Hotspur, di Enfield, dekat London pada malam sebelum perlawanan persahabatan menentang Ivory Coast. – AFP
GARETH Southgate telah memberitahu bintang England beliau untuk memberikan tumpuan tambahan kepada latihan sepakan penalti ketika dia meletakkan sasaran untuk memenangi Piala Dunia.
Pasukan Southgate ditewaskan menerusi penentuan sepakan penalti oleh Itali dalam final Kejohanan Eropah tahun lalu.
Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka semuanya gagal menyempurnakan sepakan masing-masing dalam kekalahan yang menyakitkan di Wembley.
Southgate, yang dalam dalam sepakan penalti penting dalam kekalahan penentuan separuh akhir Euro 96 kepada Jerman, percaya kunci kejayaan penalti adalah kemahiran yang dipelajari melalui latihan berulang.
Bercakap menjelang perlawanan persahabatan menentang Ivory Coast di Wembley hari ini, bos England itu menjelaskan bahawa butiran kecil akan menjadi penentu apabila Piala Dunia berlangsung di Qatar pada November.
“Kami telah pergi ke pelbagai butiran dengan pemain di mana kami boleh menambah baik untuk menjadi juara dunia,” kata Southgate kepada pemberita.
“Kami tidak mempunyai peluang untuk melakukan perkara itu secara terperinci pada musim luruh kerana kami perlu terus kepada fokus kelayakan, jadi kami merasakan kem ini adalah masa yang baik untuk memulakannya. Penalti telah menjadi sebahagian daripada itu.
“Apa yang jelas, daripada segi pengambilan penalti tetap untuk kelab mereka, kami hanya mempunyai Harry Kane, James Ward-Prowse.
“Apabila kami menentang Itali, lima teratas mereka telah mengambil lebih daripada 40 penalti dalam perlawanan kompetitif. Kane berada pada tahap itu dan Rashford seterusnya pada 20.
“Jadi, kami perlu melihatnya secara berbeza daripada sekadar menerima mereka akan menjalani latihan di kelab mereka dan mereka akan dapat masuk dan itulah cabaran yang kami tetapkan dengan beberapa kerja individu.
“Kami fikir itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan, ya, rasanya mungkin mereka fikir ia agak awal untuk melakukannya, tetapi pada asasnya, jika anda mengetepikan hari perlawanan dan sehari selepas perlawanan, anda mungkin bercakap tentang 20 hari latihan antara sekarang dan situasi itu berlaku di peringkat kalah mati.”
England layak ke separuh akhir Piala Dunia pada 2018 dan naib juara Euro 2020, tetapi mereka kekal tanpa trofi utama sejak Piala Dunia 1966. – AFP