
ENGKILILI: Daerah Kecil Engkilili diyakini akan terus menikmati pembangunan yang pesat apabila berjaya dinaik taraf kepada daerah penuh tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata menerusi kejayaan itu kelak akan memudahkan urusan beliau selaku wakil rakyat dalam merancang setiap agenda projek pembangunan yang lebih lancar di Engkilili selepas ini.

Beliau berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkehendakkan jurang pembangunan di antara kawasan luar bandar dan bandar dapat dirapatkan di wilayah ini pada masa akan datang.
“Saya faham kepayahan dan kesusahan dihadapi oleh segenap lapisan rakyat dan kawasan di Engkilili ini, semuanya sudah saya ketahui baik di Merio ini, San Semanju atau di mana sahaja di segenap pelosok Daerah Kecil Engkilili ini.
“Untuk lebih membangun daripada apa yang kita ada sekarang, kita mesti menjadikan Engkilili ini sebagai sebuah salah satu daerah penuh di Bahagian Sri Aman ini,” katanya pada majlis sambutan Ulang Tahun Rumah Panjang Tupi Manjor, Merio Tambak, Rembai Ke-26 di sini semalam.
Rayong berkata, Engkilili kelak berjaya diangkat menjadi sebuah daerah penuh, sudah pastinya memberikan kelebihan dari segi peruntukan yang lebih banyak untuk menjalankan agenda pembangunan di kawasan itu berbanding ketika ini yang agak kecil.
“Selagi mana kita (Engkilili) masih lagi sebagai sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Lubok Antu seperti hari ini, peruntukan untuk kita menjalankan agenda pembangunan disini adalah terlalu kecil (sedikit).
“Menerusi jumlah yang sedikit itu, sudah tentu agak sukar bagi kita untuk membangunkan Engkilili agar setanding dengan kawasan lain yang berhampiran,” tegasnya sambil menambah dengan penuh yakin bahawa permohonan untuk menaik taraf Daerah Kecil Engkilili kepada sebuah daerah penuh bakal menjadi kenyataan sedikit masa lagi.
Tambahnya lagi, taraf sosioekonomi penduduk juga sudah tentu akan bertambah baik jika hasrat itu menjadi kenyataan kelak.
“Umpama apabila kita membina sebuah rumah, apabila kerangkanya tidak kukuh bagaimana kita hendak mendirikannya hingga menjadi tiga hingga empat tingkat dan sudah pastinya akan runtuh. Dengan Engkilili menjadi sebuah daerah penuh kelak, membolehkan taraf sosioekonomi penduduk juga sudah tentu bertambah baik.
“Jadi, inilah politik pembangunan yang sebenarnya diamanahkan oleh kerajaan GPS selaku parti pemerintah kita di Sarawak ini kepada saya untuk diterjemahkan kepada kita di Engkilili ini,” katanya.
Untuk rekod, terdapat tiga projek mega berimpak tinggi bakal dijalankan di Engkilili pada masa ini iaitu pembinaan Balai Bomba Kelas D, projek pembinaan stadium berbumbung dan naik taraf Jalan Nanga Entalau ke Nanga Menjuau termasuk membina sebuah jambatan di Nanga Entalau. Ketiga-tiga projek ini yang masih dalam pelbagai peringkat perlaksanaannya dianggarkan bakal menelan belanja sehingga mencecah ratusan juta ringgit.
Pada majlis yang sama, Rayong turut mengumumkan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 berjumlah RM140,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Panjang Tupi Manjor, Meriu Tambak, Rembai untuk mereka menukar bumbung rumah panjang baharu dan pembinaan stor bagi kegunaan Biro Wanitanya.
Turut sama menerima agihan peruntukan dari Rayong menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM116,000 ialah 11 JKKK dan Biro Wanita daripada kawasan sekitar yang terbabit.
Menyentuh sejarah awal Rumah Panjang Tupi Manjor, Merio Tambak Rembai, ia dibina pada 1997 dengan sebanyak 11 pintu bilik yang mana Tuai Rumah Manjor Singut telah dilantik sebagai tuai rumah yang pertama ketika itu.
Sesuai peredaran masa, dengan menyaksikan pertukaran beberapa tuai rumah selepas itu, rumah panjang tersebut telah dibina semula pada 1997 dan mula dihuni oleh penduduk pada 2 Mac 1999 dengan Tuai Rumah Tupi Manjor selaku tuai rumah sehingga kini.
Kini, keseluruhan seramai 85 penduduk dengan sebanyak 14 pintu bilik di Rumah Panjang Merio Tambak Rembai telah menikmati banyak pembangunan daripada kerajaan seperti akses jalan raya yang lebih baik selain telah disalurkan bekalan air bersih terawat dan kemudahan bekalan elektrik 24 jam.
Oleh Adi Saparman