MASYARAKAT Melayu memang terkenal dengan budaya berkias atau berbahasa secara berlapik. Kiasan-kiasan yang digunakan berdasarkan pemerhatian yang mendalam akan kejadian serta kitaran hidup dalam landskap alam sekitar. Hal yang sedemikian menerbitkan berbagai bentuk bahasa kiasan yang membawa makna tertentu sebagai teguran atau panduan dalam kehidupan. Namun, budaya sedemikian pun turut terterap dalam budaya masyarakat lain, sama ada di negara ini, mahupun di seluruh dunia. Misalnya bentuk idioms dalam bahasa Inggeris.
Kelainan landskap dan iklim kehidupan menyajikan kelainan bentuk perumpamaan. Namun, hal yang jelas, terdapat kesamaan dalam mesej, teguran atau nasihat yang ingin disampaikan. Bukan tujuan penulis untuk merungkai persoalan ini, akan tetapi sekadar meninta pandangan daripada penaakulan yang masih cetek tentang sesuatu situasi yang berlaku di sekeliling dan menautkannya dengan bentuk perumpamaan nenek moyang kita dahulu kala, di samping memugar keterujaan menghidupkan kembali amalan yang kian terhakis.
Antara perumpamaan yang dahulunya sering meniti bibir, termasuklah “enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang bersama (atau mana mungkin terbang bersama)” yang membawa maksud pergaulan hanya dengan orang yang sama taraf sahaja. Hal yang memerihal tentang kesepadanan taraf dan kedudukan dalam strata hidup bermasyarakat. Dalam bahasa Inggeris, terdapat padanan yang membawa pengertian yang serupa, iaitu birds of a feather, flock together. Dalam konteks masa kini pula, perumpamaan berkenaan seakan-akan mengalami proses penyingkatan atau pemadatan menjadi “kluster”. Istilah atau perumpamaan yang wujud berdasarkan pemerhatian situasi yang berlaku semasa penularan Covid-19. Perumpamaan ini memerihalkan tentang sikap manusia yang mementingkan taraf kedudukan sama ada dari segi kekayaan, pangkat, darjat, pendidikan mahupun pengalaman sebagai aras penanda “keberadaan” dan “kebersamaan” dalam sesuatu kelompok. Malah, dalam institusi kekeluargaan, jodoh atau pilihan pasangan hidup turut dihalatujukan pada pengkriteriaan yang serupa.
Penulis tertarik untuk menautkan perumpamaan yang dinyatakan dengan gagasan yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, iaitu Keluarga Malaysia yang menggariskan 3 teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan beliau, untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19. Tiga teras utama tersebut adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Bagi pengayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan, antara kaedahnya termasuklah menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga. Nilai lain adalah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.
Dilihat secara mendalam, naratif sebalik gagasan tersebut tidak banyak bezanya dengan konsep perpaduan, intergrasi nasional kesepakatan atau kesaksamaan, namun diberikan penjenamaan dalam konteks peluasan dari skop pelarasan sasarannya. Sememangnya secara teorinya, gagasan berkenaan bertepatan dalam konteks landskap kepelbagaian kaum serta cakupan tadbir urus sebuah persekutuan. Malah, Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa aspirasi berkenaan bukanlah sesuatu yang retorik sifatnya.
Namun secara praktikalnya, mampukah semangat kekeluargaan berkenaan diterjemahkan secara holistik dalam budaya yang masih melekat amalan “enggang sama enggang, pipit sama pipit, mana mungkin terbang bersama”? Aspek keterangkuman dalam pelaksanaan dasar yang memberi perhatian kepada setiap lapisan masyarakat, memang tidak dinafikan perlu dilaksanakan di peringkat kerajaan. Namun, konsep kebersamaan dan kesyukuran dilihat masih terlalu goyah. Nilai teras berkenaan berkait rapat dengan persepsi dan emosi. Dalam kontek negara ini, bukan sahaja enggang dan pipit yang wujud, malah terdapat spesies lain yang sama ada bersifat pemangsa mahupun yang menjadi mangsa. Pemangsa yang “berburu” dalam kelompoknya sendiri, manakalan yang menjadi mangsa “bertempiaran” menyelamatkan nyawa masing-masing.
Budaya “pengelompokan” ini berlaku dalam setiap ranah kehidupan, sama ada dalam institusi kekeluargaan sendiri, kemasyarakatan, persatuan dan organisasi, wilayah dan malah kenegaraan. Suatu hakikat yang tidak perlu diperinci secara mendalam. Tuntasnya, penzahiran aspirasi yang sememangnya muluk dan wajar, agak rumit untuk selagi wujud sikap ibarat perumpamaan tersebut. Ibarat kata pepatah Melayu “mencurah air di daun keladi” atau bahasa Inggerisnya, water off a duck’s feather. Sekadar catatan nota penulis semata-mata.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!