Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Energy Asia 2025 ketengah kepentingan minyak, gas dalam campuran tenaga global
  • BISNES

Energy Asia 2025 ketengah kepentingan minyak, gas dalam campuran tenaga global

Utusan Sarawak 14 hours ago
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyampaikan ucapan pada Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah lonjakan harga minyak akibat konflik Israel dan Iran, persidangan Energy Asia 2025 yang baru berakhir ini mencapai kata sepakat bahawa minyak dan gas kekal menjadi elemen penting kepada campuran tenaga global semasa krisis.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu merumuskan walaupun peralihan kepada tenaga lestari semakin pantas berkembang namun minyak dan gas masih mempunyai kepentingan utama.

Harga minyak naik 4.0 peratus semalam, dengan harga West Texas Intermediate melonjak AS$3.07, atau 4.28 peratus kepada AS$76.45 setong.

Pada pelancaran Energy Asia 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa ketegangan geopolitik, tarif timbal balik dan gangguan rantaian bekalan telah memberi kesan kepada asas sistem global, dengan sektor tenaga dan iklim paling teruk terjejas.

“Kesalinghubungan global berada dalam tekanan akibat ketidaktentuan yang semakin meningkat, menghakis kebolehramalan, kebolehpercayaan dan kestabilan sistem perdagangan dan ekonomi global sedia ada,” katanya pada persidangan itu, yang menghimpunkan 180 tokoh korporat terkemuka dunia dan para pegawai kanan berpangkat tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyuarakan pandangan yang sama seperti Anwar dengan berkata harga minyak global melonjak berikutan jangkaan kejutan bekalan akibat konflik di Asia Tengah dan kebimbangan penutupan Selat Hormuz.

“Kenaikan harga pada masa ini adalah antara yang paling tinggi sejak krisis tenaga 2022,” katanya.

Persengketaan yang semakin memuncak di Asia Barat telah membimbangkan pasaran dan melonjakkan harga penanda aras minyak mentah Brent kepada AS$76.32 setong.

Semasa sidang akhbar pada semalam, Tengku Muhammad Taufik berkata walaupun keadaan mungkin nampak seperti tenang namun industri minyak dan gas kekal bersiap sedia di tengah-tengah ketegangan geopolitik. 

“Berdasarkan pemerhatian, ramai pemimpin (syarikat) minyak dan gas di sini terpaksa keluar setiap jam untuk menguruskan operasi dan menangani pendedahan serantau,” katanya.

Pada sesi dialog bertajuk “Navigating Asia’s Energy Markets in a Multipolar World”, penasihat penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata dalam landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin berpecah-belah, pasaran sedang bergelut dengan tahap ketidakpastian yang belum pernah terjadi sebelum ini yang disebabkan oleh peralihan dasar, peperangan yang berlarutan dan ketiadaan langkah konkirt untuk menangani krisis iklim.

Beliau berkata pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) pada April telah menjejaskan aliran perdagangan global dan menjejaskan lagi rantaian bekalan.

“Kita tidak melihat pengulangan Perang Dingin. Apa yang kita hadapi sekarang adalah sesuatu yang jauh lebih licik, suatu yang baharu, dan berterusan berkembang, dan itu menjadikan perancangan dalam persekitaran hari ini lebih sukar,” katanya.

Jomo juga menyentuh mengenai kegagalan menunaikan janji untuk mempercepatkan peralihan ke arah tenaga boleh baharu walaupun kebimbangan terhadap pemanasan global.

“Kita melihat banyak janji yang tidak dipenuhi. Dalam tempoh kurang daripada setengah tahun selepas komitmen Glasgow untuk menghapuskan arang batu secara berperingkat, kita melihat komitmen baharu di Eropah untuk menyambung semula perlombongan arang batu dan sebagainya,” katanya.

Dengan sektor tenaga menjadi perbincangan utama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata peralihan tenaga menelan kos yang tinggi, sebahagian besarnya kerana bahan api fosil masih menerima subsidi yang besar.

“Tanpa subsidi petrol, kos peralihan kepada tenaga bersih adalah setanding,” katanya, sambil menegaskan pelaksanaan tenaga boleh baharu bukanlah murah, dan jika ia mahu terus dilaksanakan ada pihak yang perlu menanggung kosnya.

“Perundangan tarif akan meningkat kerana kerajaan tiada pilihan. Kita tidak boleh meneruskan subsidi kos,” katanya.

Sementara itu, semasa perbincangan mengenai sasaran pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menekankan bahawa Malaysia perlu menilai semula keseluruhan segi tiga tenaga, termasuk kemungkinan menggunakan tenaga nuklear, untuk mencapai sasaran tersebut.

“Walaupun nuklear tidak dianggap sebagai tenaga boleh baharu, ia dianggap sebagai salah satu sumber paling bersih untuk menghasilkan tenaga. Jadi jika anda bertanya kepada saya, tanpa nuklear, kita mungkin tidak mencapai sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata apabila Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dilancarkan pada 2023, tumpuan bukan sahaja terhadap pengeluaran atau peralihan tenaga tetapi juga dalam dinamik penggunaan, yang juga telah berubah.

“Justeru, (mengguna pakai tenaga nuklear) adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan,” katanya.

Sebanyak 14 memorandum persefahaman ditandatangani sepanjang persidangan tiga hari itu, yang turut mengadakan tujuh persidangan meja bulat dan 11 pelancaran.

Persidangan Energy Asia 2025, bertemakan ‘Delivering Asia’s Energy Transition’ menarik lebih 4,092 delegasi.

Acara dwitahunan itu akan kembali sebagai Energy Asia 2027, yang dijadualkan pada 2 Jun hingga 7 Jun 2027.

-Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: 16 kali terbaik dunia, AirAsia pacu nama Malaysia di persada antarabangsa – Fadillah
Next: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.