HAKIKATNYA ialah kita sedang berada dalam fasa endemik dalam konteks luruan varian Omicron virus Covid-19.
Istilah ‘endemik’ itu dengan sendirinya wajar kita semua fahami secara mendalam agar pola pemikiran umum tentang luruan baharu dalam gelombang mutakhir ini tidak menjadi kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Kita sudah tiada pilihan, melainkan menerima hakikat bahawa virus Covid-19 masih ada, tetap ada, tidak kelihatan, dan boleh menyerang kita pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.
Apa yang kita ketahui ialah varian Omicron kini menjadi dominan, mengatasi varian Delta sebelum ini, berdasarkan kajian para pakar berkaitan penyakit berjangkit.
Pada ketika endemik ini, adalah satu perkara yang mustahil untuk mengharapkan sifar kes atau sifar jangkitan. Ini juga bermakna, bukan sesuatu yang dianggap ganjil apabila muncul gelombang demi gelombang baharu berlaku.
Justeru itu, dalam keadaan sebegini adalah tidak wajar bagi kita menuding jari kepada mana-mana pihak – baik Menteri Kesihatan, atau Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, atau pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri – kerana tiada sesiapa berupaya mengekangkannya secara tuntas.
Tidak timbul soal kegagalan dalam memformulasikan bagaimana cara untuk membendungnya. Apa yang kita semua harus fahami ialah apabila pihak berkuasa mengisytiharkan kedudukan kita kini sudah dalam fasa endemik, ini bermakna virus Covid-19 itu sudah kurang mengancam nyawa manusia kerana dua perkara pokok: Pertama, kerana kita sudah ada kadar vaksinasi yang tinggi, dan kedua, sudah terbentuk imuniti akibat suntikan, dan juga akibat mereka yang diserang varian Omicron pada tahap Kategori 1 (tiada symptom) dan kategori 2 (bersimptom sederhana.
Maknanya cukup jelas – apabila kita sudah divaksinasikan maka kita terlindung dari mengalami penyakit serius jika pun terjangkit. Ini amat relevan bagi mereka yang sudah lengkap mendapat vaksinasi pertama, kedua dan dos penggalak. Jadi, kepada segelintir lagi yang masih enggan menerima vaksin, anda tahulah kedudukan anda sekarang.
Dalam situasi yang bernama endemik, jangkitan baharu Covid-19 sudah mengupayakan sistem penjagaan kesihatan kita mengawal pesakit daripada maut, dan katil-katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kita pun tidak sesak lagi.
Tidak perlulah kita risau atau keliru mengapa pihak berkuasa tiba-tiba tampil dengan langkah-langkah baharu seperti meniadakan lagi pengambilan suhu badan, membuka sempadan kepada pihak luar, membenarkan premis perniagaan beroperasi seperti sedia kala dan seumpamanya.
Apa yang diusahakan bukanlah kerana jangkitan sudah berhenti. Jangkitan tetap berlaku dan gelombang baharu demi gelombang baharu sekali sekala tetap diumumkan namun keadaan pada keseluruhannya sudah terkawal. Kes-kes baharu tetap akan naik tetapi tidak lagi kita bimbang sangat tentang si pengidapnya akan menemui ajal mereka.
Perkara yang tetap kita lakukan ialah teruskan menggunakan pelitup muka semasa berada dalam khalayak ramai, kurangkan aktiviti-aktiviti pergaulan yang mengkesampingkan penjarakan fisikal, serta jangan abaikan pensanitasian.
Kesemua itu dilakukan berlandaskan slogan awal yang perlu kita teruskan, iaitu: Kita Jaga Kita! Lindungi Diri Lindungi Semua!