



ALOR SETAR: Ibu bapa dinasihatkan tidak panik berhubung pendaftaran kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu bermula 2027 memandangkan hanya mereka yang benar-benar bersedia dan melepasi ujian khas akan dipilih untuk mengikuti pelaksanaan itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kesediaan anak merupakan aspek paling penting yang akan dinilai dan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan ujian diagnostik bagi mengenal pasti kriteria yang ada pada kanak-kanak termasuk dari segi psikoemosi.

“Ibu bapa kena tenang dan melihatnya sebagai suatu pembaharuan dalam sistem pendidikan. Sebab itu kita mulakan dengan tidak wajib kerana ia pilihan. Walaupun begitu, kita tidak bagi kebebasan kepada ibu bapa begitu sahaja (kerana) mesti datang dengan kebersediaan anak.
“Pada peringkat KPM, kita akan melaksanakan ujian diagnostik untuk kenal pasti kebersediaan anak-anak ini (termasuk) psikoemosi, tahap kemahiran dan adakah dia boleh berada dalam kelas (tahun satu),” katanya selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah Peringkat Negeri Kedah di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini hari ini.
Berhubung prasarana, Fadhlina berkata melalui ujian saringan yang akan dilaksanakan, KPM akan mendapatkan data jumlah kemasukan murid lebih awal supaya dapat membuat persiapan sewajarnya.
“Pada peringkat KPM kita sedang mengenal pasti sekolah yang telah bersedia dengan kelas tersebut. Kalau kelas tidak mencukupi kita bersedia mendirikan kelas secara sistem binaan berindustri (IBS) yang boleh siap dalam tempoh singkat,” katanya.

Fadhlina berkata KPM akan menyusun guru untuk mengisi keperluan dengan mereka perlu menguasai beberapa aspek supaya dapat mengendalikan kanak-kanak enam tahun yang akan masuk ke tahun satu.
“Jadi secara keseluruhan persiapan sedang dilaksanakan, baik prasarana, guru mahupun persiapan ujian diagnostik dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa, khususnya untuk memberi ruang kepada ibu bapa bersedia dan buat keputusan terbaik untuk anak,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.
Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata trend peningkatan kemasukan murid berkeperluan khas setiap tahun mendorong KPM untuk memperluas kemudahan serta kapasiti pendidikan khas di seluruh negara.
Beliau berkata pendidikan khas turut menjadi antara fokus utama kementerian dalam pelaksanaan kurikulum baharu yang menyokong sepenuhnya keperluan murid berkeperluan khas.
“Kita lihat trend setiap tahun, peningkatan 20 peratus bagi kemasukan murid berkeperluan khas. Jadi kita lihat ada keperluan yang sangat mendesak untuk kita buat peluasan itu.
“Kurikulum juga tidak meninggalkan mereka. Insya-Allah, kita juga merancang untuk memperkasakan sekolah sukan pendidikan khas dan banyak lagi perancangan khusus untuk melengkapkan prasarana untuk mereka supaya tidak tertinggal,” katanya.- Bernama