AKUN GIMAN
SIBU: Lima sekolah menengah persendirian Cina di Sibu dan sebuah di Sarikei menerima geran berjumlah RM3.54 juta dari kerajaan Sarawak.
Lima sekolah di Sibu adalah Citizen Middle School, Sekolah Menengah (SM) Guong Ming, SM Wong Nai Siong, SM Khian Hin dan SM Katolik, manakala SM Ming Lik di Sarikei.
Simbolik penyerahan geran itu kepada wakil setiap sekolah terbabit disampaikan oleh Setiausaha Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak (Dong Zong), Kong Chung Ming.
Majlis itu didakan di Dewan SM Wong Nai Siong yang turut disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Sementara itu, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan Sarawak akan terus memberikan bantuan bagi memastikan sekolah persendirian Cina akan terus berkembang.
Menurutnya, kerajaan Sarawak akan menyediakan geran atau dana tanpa mengira kaum.
“Kita perlu berterima kasih kepada bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang mula memberi dana kepada sekolah Cina dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Hari ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskannya,” katanya.
Beliau juga menggesa sekolah untuk melihat gambaran yang lebih besar dari segi pembangunan pelajar kerana Sarawak memerlukan lebih ramai bakat menjelang 2030.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng.