Enam sekolah di Tebedu ditutup susulan IPU melebihi 200

Facebook
WhatsApp
Enam sekolah di Tebedu ditutup susulan IPU melebihi 200.

SERIAN: Sebanyak enam sekolah di kawasan Tebedu, di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, ditutup sementara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan penutupan itu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan berdasarkan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.

Sehingga 10.30 pagi hari ini, enam sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag membabitkan 51 murid dan 14 staf; SK Sungai Sameran (129 murid, 21 staf); SK Tepoi (42 murid, 15 staf); SK Entubuh (67 murid, 18 staf); SK Temong (205 murid, 21 staf) dan SK Tema (85 murid, 15 staf).

Secara keseluruhan, penutupan itu melibatkan 579 murid dan 104 staf.

JPNS turut menjelaskan bahawa pengetua dan guru besar tidak perlu menunggu arahan khusus daripada PPD atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah sekiranya bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing melebihi 200.

Selaras dengan Surat Siaran KPM Bil. 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal, sekolah yang berada di kawasan atau daerah dengan bacaan IPU melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.

Sehubungan itu, pengetua dan guru besar hendaklah bertindak segera berdasarkan bacaan IPU semasa dan memaklumkan tindakan berkenaan kepada PPD serta JPNS bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod.

Walaupun sekolah ditutup sementara, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa serta mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Pihak sekolah juga diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan bersesuaian berdasarkan ketetapan KPM.

JPNS menegaskan keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan, selain meminta ibu bapa dan penjaga memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat serta mengikuti makluman rasmi pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS.

Bina integriti dari rumah, perkukuh di sekolah

KUCHING: Pembudayaan integriti perlu bermula dari rumah sebelum diperkukuh melalui pendidikan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat, kata Premier Sarawak,