

MUSNAH… Sebuah rumah di Jalan Oya, Batu 18, Jalan Quarry Sibu-Bintulu musnah dalam kebakaran, petang semalam. Foto JBPM Zon Sibu
SIBU: Enam sekeluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Jalan Oya, Batu 18, Jalan Quarry Sibu-Bintulu musnah dalam kebakaran, petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 3.05 petang.
“Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran rumah seperti dilaporkan oleh pengadu.
“Laluan ke lokasi kejadian tidak dapat dilalui oleh jentera berat yang mana jalan tersebut sempit dan berbukit,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Andy berkata, tiada tindakan operasi yang dilakukan kerana kebakaran telah terpadam dengan sendirinya.
“Lokasi tersebut didapati tiada saluran air dan sumber air terbuka. Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat.
“Didapati seramai enam penghuni rumah tersebut, semua dalam keadaan selamat dan kebakaran melibatkan 100 peratus,” katanya.
Oleh Akun Giman