Enam saman trafik dikeluarkan dalam operasi polis di Bau

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA Polis Daerah Bau menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar daerah Bau yang diadakan dari 9.00 malam Sabtu hingga 3.00 pagi semalam.

BAU: Polis Daerah Bau mengeluarkan enam saman trafik dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini dari 9.00 malam Sabtu hingga 3.00 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang berlangsung pada Sabtu dan semalam itu melibatkan rondaan dan pemeriksaan penguatkuasaan trafik di Jalan Bau Lama, Pasar dan Waterfront Siniawan, Taman Siniawan Villa, Kampung Lidah Tanah, Kampung Keranji, Jalan Tanjong Durian Lama, pekan Lama dan Baharu Jambusan serta pekan Bau.

Menurutnya, sebanyak 13 kenderaan terdiri daripada tiga kereta dan 10 motosikal serta 30 individu diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Tiada tangkapan atau rampasan dibuat sepanjang operasi tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata polis mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan, iaitu memandu tanpa lesen (dua kes), mengubah suai struktur kenderaan (dua kes), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (satu kes) dan mengubah suai ekzos (satu kes).

Mohd Haide berkata, operasi berkenaan bertujuan membanteras kegiatan lumba haram, mencegah jenayah serta aktiviti sosial tidak sihat, di samping meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan orang ramai.

“Operasi berjalan lancar mengikut perancangan tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Diharapkan operasi seperti ini dapat membendung lumba haram, mencegah jenayah seperti kecurian serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan,” katanya.

Oleh Connie Chieng