

DAYANG Noorazah Awang Sohor semasa mengadakan sesi lawatan dan pengesahan projek siap RTP di Maludam semalam. Foto ADUN Lingga
MALUDAM: Pelaksanaan enam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berjumlah RM760,000 di kawasan Maludam telah siap sepenuhnya dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata enam projek tersebut iaitu bina baharu pembentung dan naik taraf jalan di Sungai Mulon, baik pulih jalan dan kerja berkaitan menuju Sungai Maludam di Kampung Sungai Mulon dan baik pulih jalan ke kebun di Rumah Panjang Sungai Daun.
“Kesemua pelaksanaan projek-projek itu adalah merupakan permintaan daripada penduduk kampung yang mahukan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku di kampung-kampung mereka.
“Segala kemudahan tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus menyediakan kemudahan yang diperlukan,” katanya semasa mengadakan sesi lawatan dan pengesahan projek siap RTP di Maludam semalam.
Dayang Noorazah berkata semua projek tersebut adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong.
“Jutaan terima kasih juga kepada JPS Bahagian Betong atas komitmen tinggi, kerjasama terbaik dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Turut dilaksanakan bina baharu sistem saliran di Kampung Seberang (kawasan Komuniti Cina), bina baharu sistem saliran dan kerja berkaitan di Kampung Hulu serta naik taraf jeti nelayan Kampung Tengah.
Oleh Adi Safarman