
KUALA BERANG: Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka dikenakan tindakan buang sekolah selepas didapati terlibat dalam kejadian buli pada Jumaat lepas.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu diambil selepas pihak Jawatankuasa Disiplin MRSM yang bersidang dan menjalankan siasatan mendapati enam pelajar berkenaan terbabit dalam kegiatan tersebut.
Asyaraf Wajdi berkata beliau menerima banyak makluman daripada pengikut di laman sosialnya mengenai perkara tersebut sejak Sabtu lepas dan mengarahkan pihak pengurusan MARA supaya mengemukakan laporan segera.
“Kes ini saya dapat banyak ‘tag’ daripada media sosial. Saya terus minta laporan daripada pihak pengurusan (MARA) dan dimaklumkan berlaku dalam satu MRSM di Melaka.
“Mereka (enam pelajar) terus dibuang…berkuat kuasa serta-merta (hari ini) walaupun mereka pelajar Tingkatan Lima. Jawatankuasa disiplin dah bersidang dan memang didapati perkara itu berlaku,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2025 di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor dekat sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata beliau juga mengingatkan pihak pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut sebagai pengajaran kepada pelajar lain.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan buli atas apa jua alasan.
“Kalau mereka kata kita tidak beri peluang, saya sudah tegaskan pendirian saya sejak hari pertama memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA .
“Apa jua alasan tidak mewajarkan atau menghalalkan perbuatan buli. Soal seteruk mana perbuatan buli itu soal kedua. Kita bukan mahkamah tetapi you touch you go (kamu sentuh kamu pergi),” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya sedang menemuduga beberapa calon untuk dilantik sebagai projek warden asrama di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada Ogos ini.
“Untuk projek rintis ini kita akan lantik tiga warden lelaki dan tiga warden perempuan untuk satu MRSM. Jika berjaya kita akan perluas ke 57 MRSM lain selepas ini,” katanya.– Bernama