



RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala enam lagi masih terperangkap susulan sebuah kediaman perawatan runtuh di Belo Horizonte, ibu negeri Minas Gerais di tenggara Brazil pada Khamis, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Bangunan empat tingkat yang terletak di timur laut bandar itu runtuh kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT).
Menurut penduduk, mereka bergegas untuk memberikan bantuan selepas mendengar bunyi dentuman kuat akibat runtuhan bangunan berkenaan.
Pasukan bomba dan pertahanan awam tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam selepas insiden berlaku.
Setakat ini, lapan orang telah berjaya diselamatkan daripada runtuhan, kata pihak berkuasa.
“Kami berjaya mewujudkan hubungan dengan beberapa mangsa, jadi kami sedang bekerja keras untuk menjalankan operasi menyelamat secepat mungkin dengan tahap keselamatan yang paling tinggi,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Pihak pertahanan awam tempatan menyatakan bahawa kemungkinan punca tragedi adalah disebabkan masalah struktur bangunan, dan mengesahkan bahawa rumah-rumah berhampiran tidak mengalami risiko struktur.
Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas kerja-kerja menyelamat selesai sepenuhnya. – Bernama-Xinhua