
BAU: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang bawah umur berusia antara 18 hingga 60 tahun kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi awal pagi di sekitar Kampung Serasot di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A Rahman berkata suspek bawah umur tersebut akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan antara kira-kira 5.30 pagi hingga 7.30 pagi dalam operasi yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
“Daripada enam individu yang ditahan, seorang suspek ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki satu paket plastik lutsinar kecil yang mengandungi bahan kristal dipercayai syabu,” katanya.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah dan seterusnya ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Mohd Haide menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau talian hotline Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211,” katanya.
Oleh Connie Chieng