
KUCHING: Enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lagi ditutup di Sarawak petang dan malam ini susulan keadaan banjir yang semakin pulih di beberapa kawasan terjejas.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, penutupan terbaharu melibatkan PPS di Samarahan, Dalat dan Sibu selepas paras air dilaporkan surut serta selamat untuk penduduk kembali ke kediaman masing-masing.
Di Bahagian Samarahan, empat PPS ditutup iaitu Balai Raya Kampung Nangka, Dewan Lenggai Kampung Entingan, SK Endap Samarahan masing-masing pada 1.00 tengah hari, manakala Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup lebih awal pada 11.00 pagi.
Sementara itu, di Bahagian Mukah (Dalat), PPS Rumah James, Sebaya Atas, Sungai Baoh Burak ditutup pada 3.00 petang, manakala di Bahagian Sibu, PPS Dewan Kampung Jeriah ditutup pada 7.00 malam.
Terdahulu, sebanyak 10 PPS telah ditutup pada sebelah pagi dan awal petang melibatkan kawasan Simunjan, Siburan dan Serian, masing-masing Dewan Mesra Simunjan, Dewan Masyarakat Gedong, Dewan Serbaguna Taman Duran Emas, Dewan Serbaguna Batu Gong Baru, Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi, SK St. Peter Simpok, Dewan Serbaguna Kampung Mundai, Balai Raya Kampung Reteh Mawang, Depo Balai Ringin serta Balai Raya Ensebang Padang Bilon.
Penutupan PPS secara berperingkat ini mencerminkan trend pemindahan mangsa yang semakin menurun, selari dengan keadaan cuaca yang lebih stabil di kebanyakan kawasan terjejas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan pemantauan berterusan masih dijalankan khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.
Oleh Shahrul Qaizat