

LAWAS: Polis Daerah Lawas menahan enam lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi operasi yang dijalankan di sekitar Jalan Lawas–Damit.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, tangkapan pertama dibuat di tepi Jalan Lawas–Damit apabila sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang bekerja sendiri dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan badan menemukan satu keratan tiub straw berisi hablur kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.15 gram. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Menurut beliau, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan terdahulu dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Tangkapan kedua pula dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Lawas–Damit, melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang juga bekerja sendiri. Pemeriksaan menemui satu keratan tiub straw lutsinar berisi hablur kristal jernih disyaki syabu dengan anggaran sekitar 0.30 gram.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine manakala semakan menunjukkan suspek mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 52 tahun. Walaupun pemeriksaan tidak menemukan sebarang dadah, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
Semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod kesalahan lampau.
Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sendiri ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Lawas–Damit. Pemeriksaan tidak menemukan sebarang bahan terlarang, namun ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.
Tangkapan terakhir melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang menunggang sebuah motosikal di tepi Jalan Lawas–Damit. Pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah, namun ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah. Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan terdahulu.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Polis menegaskan komitmen untuk terus membanteras penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Oleh Adeng Edrus