
SIMANGGANG: Sebanyak enam ekor lembu telah disumbangkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang bagi melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha 2026, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di beberapa kampung dan taman perumahan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sumbangan tersebut memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh amalan kebajikan, semangat kebersamaan dan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurut beliau, ibadah korban bukan sahaja menuntut pengorbanan harta, malah menjadi platform untuk menyemai sifat keprihatinan, kesyukuran dan semangat saling membantu dalam komuniti.
Penyerahan sumbangan itu telah disampaikan oleh wakil Pusat Khidmat DUN N.32 Simanggang, Kapitan Ling Siew Hung dan Gerunsen Nyelang kepada jawatankuasa kampung serta pihak pengurusan surau dan masjid yang terlibat.
Beliau berkata, pada tahun ini enam ekor lembu telah diagihkan kepada beberapa surau dan masjid di kawasan DUN Simanggang, termasuk sebuah surau di Kem Pakit yang turut menerima sumbangan bersempena Aidiladha.
Sebanyak dua ekor lembu telah diperuntukkan untuk memberi manfaat kepada enam kawasan Masjid Darul Asyakirin Kampung Muhibbah yang meliputi Zon Utara, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Barat.
Selain itu, seekor lembu turut disumbangkan kepada Surau An-Nur RPR Fasa yang memberi manfaat kepada penduduk RPR Fasa I, RPR Fasa II serta Taman Sentosa Indah.
Surau Darul Hasanah di Taman Harmoni juga menerima seekor lembu korban bagi membolehkan penduduk di Taman Harmoni dan Taman Sri Jaya bersama-sama melaksanakan ibadah korban tahun ini.
Dua lagi sumbangan masing-masing disalurkan kepada Surau Kem Pakit dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bagi memastikan lebih ramai penduduk dan anggota komuniti setempat dapat menikmati agihan daging korban.
Harden berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja mengimarahkan sambutan Aidiladha, malah memperkukuh nilai kebersamaan, perpaduan dan ukhuwah antara pemimpin serta rakyat.
Oleh Adi Safarman