Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Enam ditahan positif dadah, seorang warga asing dicekup dalam Operasi Bersepadu di Serian
  • JENAYAH

Enam ditahan positif dadah, seorang warga asing dicekup dalam Operasi Bersepadu di Serian

Utusan Sarawak 3 hours ago
OPERASI Bersepadu bersama beberapa agensi penguatkuasaan di Stesen Penimbang Kenderaan JPJ Rayang serta sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman dan Kuching-Serian, hari ini. Foto: AADK Daerah Serian

SERIAN: Enam individu ditahan selepas didapati positif dadah manakala seorang warga asing ditangkap kerana kesalahan imigresen dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di Stesen Penimbang Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Rayang serta di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman dan Kuching-Serian, hari ini.

Operasi selama empat jam yang bermula seawal 8.00 pagi itu diketuai Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian, Thommyson Jeveni, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dan JPJ.

Menurut kenyataan media AADK Daerah Serian, seramai 21 individu telah menjalani ujian saringan air kencing sepanjang operasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, 18 individu didapati negatif manakala tiga lagi ditahan selepas disahkan positif bahan terlarang.

Hasil ujian mendapati dua daripada mereka positif ketum, manakala seorang lagi positif methamphetamine. Kesemua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pasukan penguat kuasa JIM Sarawak yang diketuai Luke Decker telah memeriksa seramai 109 individu melibatkan warga tempatan serta warga asing dari Indonesia dan India.

Pemeriksaan tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai tinggal lebih masa di negara ini. Lelaki berkenaan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas ditemui bersembunyi di dalam sebuah lori.

Susulan penahanan itu, pemandu lori warga tempatan turut dikenakan saman saksi bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

OPERASI Bersepadu bersama beberapa agensi penguatkuasaan di Stesen Penimbang Kenderaan JPJ Rayang serta sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman dan Kuching-Serian, hari ini. Foto: AADK Daerah Serian

Dalam operasi sama, pasukan JSJN IPD Serian yang diketuai D/Sub Inspektor John Berma turut menahan tiga lelaki tempatan selepas ujian saringan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketiga-tiga suspek kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menggunakan dadah berbahaya.

Dari aspek penguatkuasaan jalan raya pula, pasukan JPJ yang diketuai Albert Nading telah memeriksa sebanyak 187 kenderaan. Hasil pemeriksaan mendapati 36 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Secara keseluruhan, sebanyak 41 notis saman dikeluarkan membabitkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian ekzos dan pelbagai kesalahan teknikal lain.

Pelaksanaan operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan semua agensi penguatkuasaan dalam memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah, menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Polis tumpas geng samun Asajaya, empat suspek ditahan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.