Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Enam dekad dalam dunia seni, Othman Hafsham masih menyimpan kekesalan
  • HIBURAN

Enam dekad dalam dunia seni, Othman Hafsham masih menyimpan kekesalan

Utusan Sarawak 6 days ago
ARTIS Ruminah Sidek dan Pengarah Othman Hafsham bersama hos Ahmad Fedtri Yahya ketika sesi perkongsian pengalaman dan inspirasi pada Program Tribute : Penghargaan Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-34 di Finas semalam. Foto BERNAMA
PENGERUSI Finas Datuk Hans Isaac (empat, kanan) bergambar bersama artis Ruminah Sidek dan Pengarah Othman Hafsham pada Program Tribute : Penghargaan Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-34 di Finas semalam. Hadir sama Pelakon, Pengarah dan Pelawak Datuk Afdlin Shauki dan Penerbit Filem Datuk Yusof Haslam (dua kanan) dan hos Ahmad Fedtri Yahya (dua, kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sepanjang lebih enam dekad mencurahkan bakti dalam dunia seni, nama Othman Hafsham sudah sinonim dengan deretan karya ikonik yang masih segar dalam ingatan peminat filem tempatan.

Namun, di sebalik pencapaian cemerlangnya,  tersimpan satu kekesalan yang tidak pernah padam, apabila tidak sempat merealisasikan impian berkarya bersama seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, insan yang amat dikaguminya sejak awal pembabitannya dalam industri.

Dalam nada tenang, pemilik nama Othman Shamsuddin, 85, ini berkata, beliau masih terkenang saat-saat pertemuannya dengan seniman agung itu ketika bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar tahun 1960-an.

“Ketika itu, Allahyarham sering datang ke RTM untuk berurusan dengan penerbit Zainuddin Nordin, dan bilik saya pula berhampiran dengan bilik Zainuddin.

“Setiap kali beliau datang, kami sempat berbual… malah pernah berbincang untuk hasilkan rancangan baharu, tetapi malangnya hasrat itu tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia.

“I was looking forward to be with him, to act with him. But I didn’t achieve it. I only achieved his friendship. Tetapi saya tidak dapat bersama dengan arwah dalam seni lakonan, and this is my biggest regret,” katanya.

Beliau berkongsi kisah itu dalam Sesi Apresiasi Tokoh Perfileman dalam program Tribute: Penghargaan Kepada Tokoh-tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini.

Program itu turut menampilkan seniwati Ruminah Sidek dan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya, selaku moderator yang turut dihadiri Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.

Mula aktif dalam dunia seni pada tahun 1962, Othman Hafsham telah mengukir nama sebagai antara pengarah paling berpengaruh tanah air menerusi karya-karya seperti Adik Manja, Mekanik, Rahsia, Ujang, Driving School dan siri komedi yang kekal dalam ingatan ramai, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Meskipun sering digambarkan sebagai seorang yang serius, Othman mendedahkan bahawa hatinya sangat dekat dengan komedi  kerana genre itu  menurutnya mampu menghiburkan dan menyentuh emosi manusia pada masa yang sama.

“Saya ini orang yang serius, tetapi saya minat dalam bidang komedi sebab saya suka menghiburkan orang. Itulah rahsia hidup saya,” katanya yang mendapat pendidikan formal dalam seni perfileman di London Film School dan Guildhall School of Music and Drama di London.

Berrbeza dengan persepsi umum, Othman berpegang bahawa kejayaan dalam komedi tidak bergantung kepada lawak spontan semata-mata, sebaliknya, ia memerlukan kefahaman mendalam terhadap masa, gerak tubuh dan intipati skrip.

Disebabkan itu, beliau lebih selesa memilih pelakon berbanding pelawak untuk menjayakan watak komedi dalam arahannya.

Dalam pengarahan genre itu,  beliau mengakui lebih selesa memilih pelakon berbanding pelawak untuk menjayakan watak komedi kerana percaya mereka lebih menitikberatkan disiplin lakonan dan menghormati skrip asal.

“Kalau saya ambil pelawak, mereka akan tambah dialog sendiri sebab sudah terbiasa berimprovisasi. Tapi bagi saya, itu akan merosakkan penulisan asal skrip yang telah disusun oleh penulis,” katanya.

Antara pelakon yang amat dikaguminya dalam genre komedi ialah Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Ahmad Busu yang disifatkannya sebagai pelakon teater berdisiplin dengan kefahaman tinggi terhadap struktur komedi, termasuk intonasi dan penyampaian dialog.

“Mereka ini semuanya pelakon yang sangat serius, tapi bila bab komedi, mereka sangat lucu. Saya hanya bantu mereka membentuk diri dan membina dialog supaya bahan ketawa itu dapat dikeluarkan dengan berkesan.

Meskipun sudah lama tidak turun ke set penggambaran, semangat Othman untuk terus berkarya tetap membara. Namun, beliau akur bahawa faktor usia dan kesihatan semakin membataskan keupayaannya.

“Niat hati masih ada. Fikiran kata ya, tapi badan kata tidak. Pengarahan bukan sahaja perlukan stamina fizikal, tapi juga kekuatan mental  dan dua-dua saya makin kurang,” katanya Filem terakhir arahannya ialah Karipap Karipap Cinta, yang ditayangkan lebih sedekad lalu.

Apabila ditanya kemungkinan berkongsi pengalaman sebagai pensyarah jemputan, Othman berkata beliau sering  menerima tawaran daripada pelbagai institusi pengajian tinggi , namun terpaksa menolak dengan hormat.

“Saya tak akan terima sebab saya tak ada kekuatan. Ada banyak universiti yang datang berjumpa saya, tapi saya rasa saya tak mampu lagi. Walaupun saya sangat suka mengajar, saya tak boleh lakukannya,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Seo In Young kejutkan peminat dengan penampilan baharu
Next: Eksklusif: Teater muzikal ‘Rimba Rangers’ sentuh hati dengan jiwa dan pesona alam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.