

PERODUA Axia yang terlibat dalam kemalangan kendiri berhampiran Kampung Gua, Jalan Serian-Sri Aman pagi tadi. Foto PGO Bomba Sarawak
SRI AMAN: Enam mangsa yang menaiki Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan kendiri berhampiran Kampung Gua, Jalan Serian-Sri Aman di sini pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan tersebut sekitar 7.16 pagi.
Seramai lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 1, Mohamad Fadhli Buyong telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan tersebut.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan tidak tersepit. Mangsa berjaya keluar sendiri daripada kenderaan membuat kerja memotong kereta (RTA),” katanya.
PGO berkata tiada operasi penyelamatan dijalankan oleh pihak bomba.
“Tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), manakala seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dihantar menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
PGO berkata operasi tersebut telah ditamatkan sepenuhnya pada 7.50 pagi.
Oleh Adi Safarman