
SIBU: Ancaman buaya di perairan Daro semakin membimbangkan apabila enam ekor reptilia itu berjaya ditangkap dalam tempoh 12 hari, termasuk seekor buaya gergasi sepanjang 4.34 meter seberat kira-kira 430 kilogram.
Ketua Pasukan Pemburu Buaya Sibu, Jeffrey Siew berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama menjelang cuti sekolah, sambutan Aidiladha dan Hari Gawai Dayak.
Beliau menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung supaya sentiasa berwaspada dan tidak mandi-manda atau bermain di tebing sungai serta anak sungai bagi mengelakkan serangan buaya.
“Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak juga perlu sentiasa diawasi kerana ancaman buaya kini semakin serius di kawasan perairan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, pasukan pemburu buaya Sibu sejak kebelakangan ini giat menjalankan operasi menangkap buaya di perairan Daro dan berjaya merekodkan beberapa tangkapan besar.
Katanya, antara tangkapan terbesar ialah seekor buaya gergasi sepanjang 4.34 meter yang terkena umpan pada malam 24 Mei lalu.
“Buaya itu merupakan yang terbesar pernah ditangkap pasukan kami di Daro setakat ini,” jelasnya.
Jeffrey berkata, buaya berkenaan sebenarnya pernah terkena umpan kira-kira dua minggu lalu, namun berjaya melepaskan diri ketika pasukan tiba untuk menjalankan operasi penangkapan.


Katanya, ketika cuba meloloskan diri, buaya itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan ekor.
“Pada malam 24 Mei lalu, buaya sama sekali lagi muncul di kawasan perairan yang sama dan terkena umpan.
“Ketika kami menarik naik bangkai buaya itu pada pagi tadi, terdapat kesan luka yang jelas pada kepala dan ekornya, sekali gus mengesahkan bahawa ia adalah buaya yang pernah terlepas sebelum ini,” ujarnya.
Pada awal pagi 23 Mei lalu, pasukan itu bersama penduduk kampung di Daro turut berjaya menangkap seekor buaya sepanjang lapan kaki di kawasan perairan sama.
Bagaimanapun, tidak sampai sehari kemudian, mereka sekali lagi berjaya menangkap seekor buaya gergasi sepanjang 14 kaki tiga inci di kawasan berkenaan.
Jeffery memberitahu, ramai penduduk kampung di Daro bergantung kepada aktiviti menangkap ikan dan udang sebagai sumber pendapatan utama, khususnya udang galah.
Namun katanya, kemunculan buaya yang semakin kerap telah menjejaskan aktiviti harian penduduk sehingga ada yang mengurangkan aktiviti menangkap ikan dan udang, malah terpaksa menukar pekerjaan demi keselamatan.
“Mereka yang masih turun ke sungai untuk menangkap ikan dan udang terpaksa melakukannya dalam keadaan penuh kebimbangan setiap hari.
“Demi keselamatan penduduk kampung, ramai tampil membantu menyertai operasi pemburuan buaya bagi mengurangkan ancaman di kawasan perairan ini,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pasukan pemburu buaya mula memasang umpan dan perangkap di perairan Daro sejak 12 Mei lalu dan memperoleh hasil memberangsangkan.
“Sebelum ini, empat ekor buaya yang berjaya ditangkap masing-masing berukuran 13 kaki dua inci, 11 kaki dua inci, 11 kaki tiga inci dan sembilan kaki enam inci,” kata beliau.
Oleh Akun Giman