AWANG KUSHAIRY JUNAIDI
KUALA LAWAS: Kuih tradisional berusia lebih 60 tahun, serupa dan biaksa, perlu dipertahankan agar tidak pupus ditelan zaman.
Siapa lagi, jika tidak golongan muda atau belia yang mempunyai minat mendalam dan berkemahiran dalam bidang berkenaan.
Antaranya ialah Umirul Azirah Dugapor, 23, yang menunjukkan kesungguhannya untuk mempelajari kaedah menghasilkan dua kuih tradisional tersebut.
Azirah berkata, usaha mempertahankan warisan kuih tradisional oleh generasi muda amat perlu, bukan sahaja di Lawas, malah di seluruh daerah di Malaysia.
“Apatah lagi, biaksa dan serupa merupakan kuih tradisional yang masih bertahan dan berasal dari kampung ini,” kata anak kepada Saniah Jukim, 58, dan Dugapor Mudin, 70, semasa ditemui di kediaman mereka di Kampung Dato Ulu, Kuala Lawas, Lawas.
Menurut ibu bapanya, kuih serupa dan biaksa asalnya memang dibuat oleh seorang pembuat kuih dari kampungnya.
Untuk pengetahuan, kuih serupa diperbuat daripada adunan tepung beras, halia, bawang merah, santan, kapur dan sira (garam) bersama adunan berwarna hijau yang manis.
Manakala bagi biaksa, ia dihasilkan daripada adunan tepung beras dan kerisik (kelapa parut yang telah digoreng dan dikisar halus).
Kedua-duanya mengambil masa selama 15 hingga 20 minit untuk dikukus sehingga masak.
Saniah dan Dugapor yang telah dikurniakan lapan anak serta 11 cucu, kini boleh menarik nafas lega kerana anak kelimanya itu sudah berkebolehan dalam menghasilkan kuih tradisional tersebut.
Selain itu, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, keluarga ini terpaksa menghentikan sementara penghasilan kuih tersebut.
PKP sekarang di Tahap 3 dan tidak lama lagi Ramadan menjelang tiba. Pastinya, kuih-kuih tradisional turut menjadi pilihan untuk dijadikan juadah ‘bersungkai’ atau berbuka puasa.
Tidak keberatan untuk mereka sekeluarga kembali beraksi, sekiranya banyak menerima tempahan.
Menurut Azirah, kuih berkenaan pernah ditempah banyak untuk dibawa ke luar Lawas seperti ke Kuching dan lain-lain.
Tidak hairanlah suatu hari nanti, Azirah adalah antara belia yang berjaya mewarisi kebolehan membuat kuih tradisional serupa dan biaksa, dengan mengekalkan rasa yang asli.