

MANUSIA dianugerahkan dua telinga tetapi hanya satu mulut. Hikmah ini sangat besar kerana ia mengajar kita bahawa mendengar itu lebih penting daripada bercakap.
Malangnya, dalam kehidupan seharian, ramai di antara kita lebih gemar berbicara daripada benar-benar mendengar.
Kita mahu suara kita didengar, pandangan kita dihormati, tetapi jarang benar kita memberi ruang kepada orang lain untuk meluahkan isi hati mereka.
Hakikatnya, kemampuan mendengar dengan hati yang terbuka adalah kunci utama membina hubungan yang kukuh, mengelakkan salah faham dan mewujudkan rasa kasih sayang sesama insan.
Tanpa empati, komunikasi akan menjadi hambar, penuh kekeliruan, bahkan boleh membawa kepada perpecahan.
Oleh itu, marilah kita renungkan makna empati melalui akronim EMPATI sebagai panduan hidup yang lebih bermakna.
E – ELAKKAN Ego
Ego adalah penghalang utama dalam proses komunikasi.
Apabila ego menguasai diri, kita hanya mahu pandangan kita diterima tanpa mahu mendengar suara orang lain.
Sikap ini bukan sahaja menjauhkan kita daripada kebenaran, tetapi juga boleh merosakkan hubungan.
Seorang ketua yang terlalu ego dengan keputusannya akhirnya gagal mengurus dengan adil kerana tidak pernah mahu mendengar keluhan warga kerjanya.
Beliau kehilangan sokongan kerana enggan menerima pandangan orang lain.
Sebaliknya, seorang ketua yang rendah hati dan bersedia mendengar mampu menenangkan keresahan warga kerja dan membuat keputusan yang lebih bijaksana.
Nilai hidupnya dapat dilihat dengan sikap rendah hati, terbuka dan sanggup mengakui bahawa kebenaran boleh datang daripada sesiapa sahaja.
M – MENDENGAR Dengan Hati
Mendengar dengan telinga sahaja belum cukup. Empati menuntut kita mendengar dengan hati iaitu memberi perhatian penuh tanpa memotong cakap, tanpa menghakimi dan tanpa tergesa-gesa memberi jawapan.
Dalam sebuah keluarga sebagai iktibar, seorang anak mula memberontak kerana merasakan ibu bapanya tidak pernah mendengar isi hatinya.
Namun, apabila ibu bapanya mula memberi ruang untuk mendengar dengan hati, hubungan mereka menjadi lebih mesra dan penuh kasih sayang.
Nilai hidup yang dapat kita pelajari ialah sikap kesabaran, kepekaan dan kasih sayang yang tulus.
P – PERHATIKAN Kebenaran
Tidak semua yang kita dengar adalah benar. Empati bukan bererti kita menerima bulat-bulat setiap perkataan, tetapi mendengar dengan hikmah untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.
Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda sering menjadi sasaran fitnah. Namun, Baginda tidak terburu-buru membuat keputusan.
Baginda mendengar, menilai dan menyelidik sebelum mengambil tindakan. Hasilnya, kebenaran sentiasa mengatasi kepalsuan.
Nilai kehidupan yang dapat kita pelajari di sini ialah keadilan, kebijaksanaan dan sikap berhati-hati sebelum bertindak.
A – AMBIL Iktibar
Setiap pengalaman yang dikongsi oleh orang lain adalah peluang untuk kita belajar sesuatu.
Mendengar dengan empati menjadikan kita lebih matang kerana kita mengambil iktibar daripada kisah hidup orang lain.
Saidina Umar al-Khattab RA terkenal dengan ketegasannya, tetapi beliau juga seorang yang suka mendengar pandangan.
Malah, beliau pernah menerima nasihat daripada seorang wanita dalam menentukan hukum.
Keputusan-keputusan besar beliau sering berpandukan iktibar daripada nasihat orang yang berilmu.
Di sini kita pelajari nilai kehidupan pada perspektif kerendahan hati, kebijaksanaan menerima teguran dan penghargaan terhadap pengalaman orang lain.
T – TAHAN Lidah
Lidah adalah senjata yang lebih tajam daripada pedang. Kata-kata yang tidak dijaga boleh melukai hati orang lain.
Justeru, empati menuntut kita menahan lidah daripada berkata sesuatu yang tidak bermanfaat.
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang boleh menjamin keselamatan dunia dan akhirat.
Baginda bersabda: “Jagalah lidahmu.” (Riwayat Tirmizi). Ini menunjukkan betapa besarnya kesan kata-kata dalam kehidupan.
Nilai hidup yang dapat kita pelajari di sini ialah pada perspektif kawalan diri, menjaga maruah dan menghormati perasaan orang lain.
I – IKHLAS Dalam Respon
Apabila kita benar-benar mendengar, jawapan kita akan lahir dengan ikhlas.
Kita tidak akan memberi jawapan semata-mata untuk menyedapkan hati atau menunjukkan kepandaian, tetapi kerana benar-benar mahu membantu.
Sebagai iktibar, seorang guru mendengar keluhan pelajarnya yang gagal dalam peperiksaan. Dengan penuh ikhlas, beliau memberi dorongan dan keyakinan semula.
Kata-kata ikhlas itu menyuntik semangat baharu sehingga pelajar itu kembali bangkit dan akhirnya berjaya.
Inilah nilai hidup pada sudut kejujuran, keikhlasan dan semangat membina orang lain.
Daripada perbincangan ini, kita dapat memahami bahawa beberapa nilai kehidupan yang penting boleh kita amalkan setiap hari adalah:
- Rendah hati – tidak membiarkan ego menguasai diri.
- Kasih sayang – mendengar dengan penuh perhatian.
- Keadilan – bijak membezakan benar dan salah.
- Kerendahan hati – berani menerima teguran dan nasihat.
- Kawalan diri – menahan lidah daripada menyakiti orang lain.
- Keikhlasan – memberi respon dengan hati yang bersih.
Pada sudut yang dalam, empati adalah jambatan yang menghubungkan hati manusia.
Mendengar lebih daripada bercakap bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya ia adalah tanda kekuatan jiwa dan kematangan fikiran.
Dengan empati, kita bukan sahaja memahami orang lain, tetapi juga memperbaiki diri kita sendiri.
Seperti kata hukamah: “Manusia yang paling mulia bukanlah yang paling banyak berbicara, tetapi yang paling banyak mendengar dan memahami.”
Maka, marilah kita belajar mendengar dengan hati, menahan ego, memilih kata dengan berhati-hati, serta memberi respon dengan ikhlas. Inilah kunci membina masyarakat yang penuh kasih sayang, adil dan harmoni.
Wallahu alam Bissawab