
PUTRAJAYA: Lima wakil rakyat dari Sarawak dilantik sebagai Timbalan Menteri baharu susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pelantikan tersebut menyaksikan Dato Hanifah Hajar Taib diberi amanah sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, manakala Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.



Datoʼ Sri Huang Tiong Sii (kiri), Datuk Lukanisman Awang Sauni (tengah) dan Mordi Bimol (kanan).
Turut dilantik Datuk Lukanisman Awang Sauni yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Negeri, serta Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Selain itu, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Rombakan ini sekali gus memperkukuh peranan wakil Sarawak dalam pentadbiran Persekutuan, selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan rakyat di negeri tersebut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Hanifah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan negara atas kepercayaan berterusan yang diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab baharu itu.
Menurut beliau, amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi, integriti dan tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kemampanan dan kesejahteraan menyeluruh.
Pada masa sama, Hanifah menegaskan bahawa khidmat bakti kepada rakyat Mukah akan terus diberi perhatian serius, selaras dengan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.
Pelantikan Hanifah sebagai Timbalan Menteri Kesihatan diharap dapat menyuntik nafas baharu kepada kementerian berkenaan, khususnya dalam usaha meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan inklusif kepada seluruh rakyat Malaysia.