
SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) terus komited memperkasa wanita Dayak menerusi empat teras strategik utama yang menjadi hala tuju dan panduan dalam usaha memperjuangkan pembinaan sebuah komuniti yang lebih maju dan bermaruah.
Presidennya, Dato Ir Alice Jawan Empaling berkata, empat teras tersebut meliputi pendidikan, pemeliharaan budaya, pemerkasaan wanita serta pembangunan modal insan, yang akan menjadi asas kepada segala tindakan dan keputusan SIDS.
“Empat teras ini bukan sahaja mencerminkan identiti dan aspirasi SIDS, tetapi juga berfungsi sebagai panduan strategik dalam menghadapi cabaran masa kini serta membuka ruang kepada pembangunan wanita Dayak yang sistematik dan berimpak tinggi.
“Melalui pendidikan, budaya, pemerkasaan dan modal insan, kita bina komuniti yang lebih maju, bersatu dan bermaruah,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) Ke-4 SIDS di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Alice turut menekankan aspirasi meningkatkan penyertaan wanita Dayak dalam bidang kepimpinan serta proses membuat keputusan.
“Selain itu, kita mahu memastikan akses kepada sumber, pendidikan dan peluang ekonomi sebagai asas utama dalam membangunkan wanita serta generasi Dayak yang yakin, berkebolehan dan penyayang,” katanya.
Dalam TGM yang menghimpunkan 156 perwakilan daripada 26 cawangan seluruh negeri itu, Alice Jawan turut mengekalkan jawatannya sebagai Presiden SIDS bagi penggal 2025–2027 setelah menerima sokongan sebulat suara daripada para perwakilan.
Barisan kepimpinan baharu turut menyaksikan pembabitan muka-muka baharu dalam kalangan profesional muda, sekali gus membuktikan keterbukaan SIDS dalam memberi ruang kepada generasi pelapis untuk menyumbang kepada pentadbiran persatuan.
Antara barisan kepimpinan baharu yang dipilih ialah Angela Samson (Timbalan Presiden), Angelyn Uchi Maseng (Naib Presiden), Tuai Rumah Susana Koh (Setiausaha), Cherry Linda Keripin (Bendahari), dan Ameada Clemson (Penolong Bendahari).
Ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Norina Emas, Doris Kumang, Bunie Japah, Alice Stephen, Annie Anthony Blikau, Jessie Timah Kunah dan Kaunselor Yanti Nyanggau.
Sementara itu, dua muka baharu turut dilantik sebagai Juruaudit Dalaman iaitu Mundun Undau dan Stephenie Gia Luan.
TGM kali ini turut menggesa seluruh ahli agar terus saling menyokong dan memperkukuh satu sama lain dalam mencapai kemajuan secara kolektif.
Oleh Tarani Lanting