KUALA LUMPUR: Empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu U Mobile Sdn Bhd, Celcom Networks Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menandatangani Perjanjian Akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) pada 30 Oktober 2022 untuk menyediakan perkhidmatan 5G di negara ini.
U Mobile berkata, ia akan menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggannya mulai 3 Nov 2022 dan selanjutnya selepas pemeteraian itu.
“Bermula 3 November dan seterusnya, pelanggan pelan pascabayar dan prabayar U Mobile berkeupayaan 5G akan dapat menikmati manfaat kesalinghubungan 5G apabila menggunakan peranti bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Wong Heang Tuck berkata, U Mobile menyokong visi kerajaan bagi rangkaian borong tunggal untuk pelaksanaan 5G dengan semua pengendali akan mempunyai akses terhadap rangkaian yang sama tanpa pembezaan dari segi kelajuan dan kualiti.
“Kami percaya DNB akan memenuhi mandat untuk menyediakan liputan dan kapasiti 5G yang berkualiti dengan adil dan tanpa diskriminasi.
“Kami berharap dapat menyediakan perkhidmatan 5G daripada rangkaian tunggal DNB, meletakkan kami pada kedudukan sama seperti yang lain dalam industri bagi 5G,” katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata Group Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya melalui Celcom Axiata Bhd, Celcom Networks telah menandatangani AA dengan DNB bagi membolehkan akses borong Celcom terhadap rangkaian 5G DNB.
Dalam kenyataan berasingan, syarikat telekomunikasi itu berkata pelanggan Celcom termasuk pelanggan Celcom Business yang mempunyai peranti berkeupayaan 5G dan melanggan pelan pascabayar dan prabayar Celcom terpilih akan mempunyai akses secara automatik ke atas perkhidmatan rangkaian 5G di kawasan liputan 5G mulai 1 November 2022.
Sementara itu, Digi.Com Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata anak syarikat milik penuhnya Digi Telecommunications telah memeterai AA dengan DNB bagi akses kepada rangkaian borong tunggal 5G pada 30 Oktober 2022.
Dalam kenyataan berasingan, Digi berkata, ia akan melanggan rangkaian borong 5G DNB untuk tempoh 10 tahun bagi membangunkan dan menawarkan perkhidmatan runcit pelanggan akhir termasuk kesalinghubungan 5G.
Terdahulu, TM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata ia telah menandatangani AA dengan DNB pada 30 Oktober 2022 untuk melanggan perkhidmatan 5G terkawal DNB termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk rangkaian borong 5G nasional.- Bernama