
SERIAN: Empat rumah separuh kekal terjejas dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Murud Plaman di sini pagi tadi, namun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.59 pagi.
Susulan menerima laporan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dan Balai Bomba dan Penyelamat Siburan segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, PPgB Christoper Adrian Winces, dengan kehadiran pegawai kanan termasuk TPgB II Melvin Amok selaku Pegawai Operasi Zon serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, PPgB Mohamad Imran Mohamad Sabri.
Menurut pihak bomba, tiga rumah mengalami kemusnahan teruk dengan tahap kebakaran dianggarkan sekitar 90 peratus. Rumah pertama yang berkeluasan sekitar 30×50 kaki persegi musnah hampir sepenuhnya, manakala rumah kedua dan ketiga masing-masing berkeluasan 40×50 kaki persegi turut mengalami tahap kerosakan yang sama.


Sebuah lagi rumah berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kerosakan akibat asap dianggarkan sekitar lima peratus, melibatkan keluasan sekitar 60×60 kaki persegi.
Kerja pemadaman dan pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya dan kawasan berada dalam keadaan selamat serta terkawal sebelum operasi ditamatkan.
Kebakaran tersebut melibatkan beberapa penghuni dari empat kediaman berkenaan, termasuk lelaki dan wanita dewasa, warga emas, kanak-kanak serta seorang bayi. Bagaimanapun, kesemua penghuni dilaporkan selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Adele Rissa