
TEBEDU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan luar bandar apabila empat projek di bawah Program Projek Rakyat (RTP) dengan nilai keseluruhan RM530,000 diserahkan secara rasmi kepada penduduk di sini, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, melibatkan projek naik taraf kemudahan kampung iaitu Gereja St. Augustine, Kampung Tebedu Mawang (RM80,000), Padang Bola Kampung Sungan (RM200,000), Dewan Kampung Tubih Plaman (RM100,000) dan Balairaya Kampung Tubih Behem (RM150,000).
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha menaik taraf kemudahan awam ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
“Saya berharap kemudahan yang dinaiktaraf ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dijaga dengan baik demi keselesaan serta kemajuan komuniti kampung masing-masing,” katanya.
Selain penyerahan projek siap, beliau turut melakukan lawatan tapak ke projek naik taraf Balairaya Kampung Krusen Siu yang kini sedang dalam pelaksanaan dengan kos RM180,000.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, projek tersebut kini siap 10 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Disember 2025, melibatkan pembinaan benteng penghadang bagi mengelakkan hakisan dan tanah runtuh.
Turut hadir Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar, Jurutera Awam JKR Serian, Martina Aisan dan Ahli Majlis Daerah Serian, Cr. Georgie Lampaah. -UKAS