Empat projek BDDA di Kabong mula dilaksanakan

Facebook
WhatsApp
SESI penyerahan tapak projek di bawah BDDA di empat lokasi iaitu Kampung Emplam, Kampung Sessang, Kampung Nyabor dan Kampung Gerigat, hari ini. Foto: ADUN Kabong

KABONG: Empat projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong mula memasuki fasa pelaksanaan menerusi sesi penyerahan tapak projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penyerahan tapak berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan projek yang diluluskan dapat dimulakan mengikut perancangan.

Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan empat lokasi iaitu Kampung Emplam, Kampung Sessang, Kampung Nyabor dan Kampung Gerigat.

“Pelaksanaan projek ini amat penting dalam usaha meningkatkan kemudahan asas serta prasarana yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat,” katanya.

Antara projek yang dilaksanakan ialah pembinaan parit konkrit di jalan utama dan lorong-lorong di Kampung Sessang bagi membantu meningkatkan sistem saliran serta mengurangkan masalah berkaitan aliran air.

Turut dilaksanakan ialah pembinaan parit konkrit di lorong-lorong Kampung Nyabor dan pembinaan parit konkrit kampung di Kampung Emplam.

Sementara itu, Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Gerigat turut menerima projek naik taraf bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna, khususnya komuniti nelayan setempat.

Sesi penyerahan tapak berkenaan dihadiri Pegawai Tadbir Khas kepada ADUN Kabong, Nur Elffi Amir yang mewakili Pusat Khidmat DUN Kabong, selain wakil BDDA serta pihak berkaitan.

Chee Kadir berkata, beliau berharap kesemua projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan dengan mematuhi spesifikasi dan kualiti yang telah ditetapkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan pembangunan berkenaan dan berharap usaha tersebut dapat terus memperkukuh kemudahan awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar, khususnya DUN Kabong.

Oleh Adi Safarman