
KUALA LUMPUR: Empat pemain bola sepak terbaik negara dipilih menyertai skuad ASEAN All-Stars berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Penganjur ShekhinahPR dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat pemain itu ialah Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Adib Abdul Ra’op, Muhammad Haziq Nadzli dan Declan Lambert akan membawa harapan negara dalam acara sukan terbesar di Malaysia tahun ini.
Pemain pertahanan kanan Terengganu FC Muhammad Azam yang dikenali dengan larian pantas dan menyerang berkata beliau berasa bangga diberi peluang untuk mewakili negara pada perlawanan berprestij itu.
“Memakai jersi kebangsaan dalam skuad ASEAN All-Stars ini adalah satu detik membanggakan. Saya berazam untuk memberikan yang terbaik dan menunjukkan kemampuan sebenar bola sepak Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Pemain sayap Penang FC Muhammad Adib pula meluahkan keterujaan apabila berpeluang menentang pasukan bertaraf dunia.
“Ini lebih daripada sekadar satu perlawanan, ia adalah peluang untuk kami mempamerkan kemahiran dan semangat di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Perak FC Muhammad Haziq berkata beliau bersedia untuk menyahut cabaran menentang barisan penyerang bertaraf dunia.
“Berdiri di gawang berdepan pasukan seperti Manchester United adalah impian saya sejak kecil. Saya bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan pasukan kita kekal bersaing dalam perlawanan itu,” katanya.
Pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC Declan Lambert yang bergelar pemain kebangsaan sejak 2022 pula bakal mengetuai benteng pertahanan skuad ASEAN All-Stars dengan pengalaman dan kepimpinannya.
“Saya berbesar hati untuk mengetuai barisan pertahanan bersama rakan sepasukan dari Malaysia. Bersama-sama, kami akan menunjukkan semangat bola sepak Malaysia,” katanya.
Skuad ASEAN All-Stars akan dibimbing jurulatih dari Korea Selatan Kim Sang Sik yang baru-baru ini membawa Vietnam muncul juara Kejohanan ASEAN 2024.
Perlawanan persahabatan ini adalah sebahagian daripada siri jelajah pramusim Manchester United dan dijangka menarik puluhan ribu penyokong, sekali gus menonjolkan bakat bola sepak terbaik Asia Tenggara.– Bernama