JAKARTA: Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea bakal menjadi anggota penuh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada Mei tahun depan di tengah-tengah kempen berterusan memburukkan minyak sawit yang didakwa memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Negara-negara ini akan secara automatik menjadi anggota penuh sebaik sahaja mereka meratifikasikan Piagam CPOPC dan Protokol untuk Meminda Piagam, kata Pengarah Eksekutif CPOPC, Tan Sri Dr Yusof Basiron.
“Saya jangka dalam tempoh enam bulan mereka akan dapat meratifikasikannya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, penyertaan anggota baharu itu akan mengukuhkan lagi suara bersama majlis tersebut untuk membantah layanan tidak adil Kesatuan Eropah terhadap industri minyak sawit.
“Sebagai anggota CPOPC menerusi CPOPC, suara akan menjadi lebih berkuasa, harapnya akan lebih memberi impak,” kata Yusof yang berada di sini sempena menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri CPOPC Ke-9 yang diadakan pada Sabtu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dan rakan sejawatannya dari Indonesiat Airlangga Hartanto.
Para pegawai dari Colombia, Papua New Guinea, Honduras dan Ghana turut menghadiri mesyuarat tersebut secara maya atas kapasiti mereka sebagai negara pemerhati.
Yusof berkata, negara pemerhati akan melakukan yang terbaik untuk mempercepat proses ratifikasi sebagai langkah akhir sebelum diterima sebagai anggota penuh.
Colombia, Honduras dan Papua New Guinea menekankan tentang kepentingan untuk saling bekerjasama dalam meningkatkan kepentingan bersama dan mempertahankan industri daripada sentimen negatif dan dakwaan tidak berasas terhadap industri tersebut.
Beliau menjelaskan Honduras menegaskan bahawa negara-negara pengeluar perlu menuntut layanan yang adil terhadap minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.
Papua New Guinea pula menekankan bahawa pengeluar perlu bersatu hati dalam isu kemampanan manakala Colombia menyokong kempen promosi, penyelidikan dan kajian.
“Malaysia dan Indonesia mengulangi komitmen mereka untuk memastikan harga yang tinggi dan menarik pada 2022 menerusi pelbagai langkah dan tindakan diselaras di peringkat CPOPC,” katanya.
Usaha keutamaan majlis itu yang akan dilaksanakan tidak lama lagi termasuk menambah keanggotaan, menerima rangka kerja global bagi minyak sawit mampan dan forum pelbagai pemegang kepentingan global.
“CPOPC dengan kerjasama bersama Indonesia, yang memegang jawatan presiden Mesyuarat Kumpulan 20 (G20) akan dimanfaatkan untuk mempromosikan minyak sawit,” kata Yusof.
Indonesia bersetuju sekali lagi untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri CPOPC Ke-10 pada tahun depan. – Bernama