Gempa itu berlaku pada kedalaman 60 kilometer, sekali gus mencetuskan rasa bimbang kepada penduduk mengenai tragedi tsunami yang berlaku sebelum ini akan berulang.-AFP
TOKYO: Sekurang-kurangnya empat terkorban manakala puluhan lagi cedera selepas gempa bumi 7.4 pada skala Richter menggegarkan timur laut Jepun tengah malam Rabu, lapor agensi berita antarabangsa.
Perdana Menteri Fumio Kishida yang memaklumkan jumlah kematian terbaharu itu turut berkata punca kematian keempat-empat mangsa sedang dalam siasatan.
Sebelum ini dilaporkan sekurang-kurangnya 100 cedera di tujuh wilayah termasuk Miyagi dan Fukushima setakat ini, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.
Gempa berlaku pada 11.36 malam waktu tempatan, pada 37.7 darjah utara dan 141.7 darjah timur dengan kedalaman 60 kilometer.
Amaran tsunami sehingga satu meter turut dikeluarkan di pantai wilayah Miyagi dan Fukushima, dan penduduk setempat digesa menjauhi kawasan itu.
Sebahagian perkhidmatan kereta api laju Shinkansen di Tohoku dihentikan pagi Khamis akibat tergelincir dari landasan.
Syarikat Lebuhraya East Nippon menutup sementara beberapa lebuh raya, termasuk Lebuhraya Tohoku di Osaki, Wilayah Miyagi dan Lebuhraya Joban di Soma, Fukushima.