
WASHINGTON: Sebuah pesawat pengangkutan perubatan yang membawa empat orang terhempas dan terbakar berhampiran sebuah lapangan terbang di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, mengorbankan kesemua yang berada di dalamnya, kata pihak berkuasa tempatan, memetik laporan agensi berita Jerman (dpa).
Pesawat kecil berkipas itu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Chinle di bahagian utara negeri itu ketika dalam penerbangan untuk mengambil seorang pesakit dari sebuah hospital, kata polis tempatan dalam satu kenyataan di Facebook. Punca nahas masih dalam siasatan.
Menurut Presiden Navajo Nation Buu Nygren, mangsa terdiri daripada kakitangan perubatan, NBC News yang memetik pengendali pesawat CSI Aviation melaporkan bahawa mereka yang maut, termasuk dua juruterbang dan dua kontraktor penjagaan kesihatan.– Bernama-dpa