
BINTULU: Empat majikan di sini diiktiraf sebagai penerima Anugerah Majikan Terbaik KWSP Bintulu 2025, satu pengiktirafan kepada syarikat yang menunjukkan disiplin tinggi dalam pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengiktirafan itu turut menekankan komitmen syarikat terhadap kebajikan pekerja, sekali gus menjadikan mereka contoh teladan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai majikan berdaftar.
Antara penerima anugerah tersebut ialah Jaymore Sdn. Bhd., Medan Jaya Medical Clinic, Air-Marine Cargo Agency Sdn. Bhd. serta Daiken Sarawak Sdn. Bhd.

Ketua Cawangan KWSP Bintulu, Ali Ding berkata, penilaian dibuat berdasarkan tiga kategori mengikut jumlah tenaga kerja iaitu majikan besar, sederhana dan kecil, bagi memastikan setiap kumpulan dinilai secara seimbang dan adil.
Menurutnya, kepatuhan caruman bukan sahaja memenuhi keperluan perundangan, tetapi turut mencerminkan budaya pengurusan yang menghargai kesejahteraan pekerja.

“Pekerja yang menerima caruman teratur mempunyai perlindungan kewangan lebih kukuh untuk jangka panjang.
“Ini bukan sekadar simpanan persaraan, tetapi juga jaminan yang memberi ketenangan kepada pekerja,” katanya pada Majlis Penghargaan Majikan Terbaik 2025 yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Program tahunan tersebut bertujuan menggalakkan lebih banyak majikan mematuhi tanggungjawab caruman tepat masa sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Oleh Carolyne Utih