
SIBU: Sebanyak empat majikan dipilih sebagai penerima Anugerah Majikan Terbaik 2025 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sarawak Cawangan Sibu pada majlis penghargaan yang berlangsung di Hotel RH di sini, hari ini.
Pengiktirafan itu melibatkan empat kategori utama, dengan penerima masing-masing ialah Gimhawk Shipping Sdn Bhd bagi Kategori Majikan Berskala Kecil, Borneo Post Sdn Bhd (Kategori Majikan Berskala Sederhana), Farley Sdn Bhd (Kategori Majikan Berskala Besar) dan Sarawak Water Sdn Bhd bagi Anugerah Khas VE Syer Majikan.
Turut menerima sijil penghargaan atas sokongan berterusan terhadap agenda keselamatan sosial pekerja ialah Ta Ann Holdings Berhad dan Jaya Tiasa Holdings Berhad.
Ketua Cawangan KWSP Sibu, Kenneddy Aben, berkata penganjuran majlis itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen majikan dalam memastikan pelaksanaan caruman yang teratur serta usaha memperkukuh kebajikan pekerja di kawasan Sibu, Kapit, Mukah dan Sarikei.
“Majikan-majikan ini bukan sahaja mematuhi keperluan caruman, malah melangkaui jangkaan dengan membuat caruman sukarela melebihi kadar berkanun, meningkatkan kesedaran simpanan dan memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Majikan Terbaik 2025 KWSP Wilayah Sarawak Cawangan Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini.
Menurut beliau, peningkatan berterusan jumlah ahli aktif KWSP di empat bahagian berkenaan menggambarkan tahap kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan simpanan jangka panjang.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, tetapi pemangkin untuk lebih ramai majikan mengukuhkan komitmen mereka terhadap kebajikan pekerja. Masa depan pesaraan mereka bermula dengan tindakan majikan hari ini,” jelasnya.
Kenneddy turut menyampaikan penghargaan kepada semua majikan di Sibu atas kerjasama dan sokongan mereka selama ini.
“KWSP kekal komited bekerjasama dengan majikan bagi memastikan kesejahteraan sosial dan persiapan pesaraan pekerja sentiasa terjamin,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah (TKPD) Sibu, Superintendan Boniface Bajai, Ketua Zon 4 Bomba dan Penyelamat Sibu, Ts Andy Alie, Pegawai UKAS Bahagian Sibu, Jelani Ajang, Ketua Seksyen Majikan KWSP Sibu, Wilson Lanyau serta tetamu kehormat lain.
Oleh Tarani Lanting