
MIRI: Empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 47 tahun yang sedang menjalani perintah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga 12 bulan selepas didapati gagal mematuhi syarat pengawasan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan AADK Miri, empat tertuduh termasuk seorang wanita merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret pada 26 Februari lalu.
“Mengikut pertuduhan, mereka didapati melanggar syarat pengawasan, gagal hadir program di bawah seksyen 6(2)(f) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 setelah tindakan pengesanan dilaksanakan oleh pihak AADK dan dikenakan hukuman penjara dua hingga dua belas bulan.
“Seorang lagi tertuduh, lelaki, 41 tahun yang juga OKP AADK didapati positif methamphetamine dan amphetamin selepas saringan ujian air kencing dijalankan di Pejabat AADK Daerah Miri.
“Tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana menagih semula dalam tempoh pengawasan dan dikenakan hukuman penjara empat bulan,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, AADK Miri berharap semua klien yang diperintahkan menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) patuh kepada syarat-syarat pengawasan dan sekiranya ingkar akan berdepan hukuman apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi tiga sebatan atau kedua-duanya, tegasnya lagi.
Oleh Adum Liu