
MUKAH: Empat lelaki yang leka bermain judi jenis Hoo Hey How (Holo) di bawah sebuah rumah sarang burung di Kampung Tellian Tengah tidak sempat meloloskan diri ketika diserbu polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan sekitar 6.15 petang, itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Keempat-empat suspek warga tempatan berumur 36 hingga 66 tahun. Polis telah membuat rampasan wang tunai berjumlah RM260 dan satu helaian kain yang tertera gambar ikan, udang, ketam, ayam, harimau dan labu.
“Turut dirampas ialah enam biji dadu, dua kong Holo, empat unit kerusi dan satu meja untuk dijadikan barang kes,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek berumur 66 tahun mempunyai dua rekod atas kesalahan jenayah.
“Manakala suspek yang lain tiada rekod kesalahan. Kes ini telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” tegasnya.
Katanya, tiga suspek direman satu hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 31 Oktober ini manakala seorang suspek dibebas dengan jaminan polis.
“Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah agar menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berdekatan.